Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

MUIS Lantik Penyelaras, Wakil Amil Zakat Fitrah 2019

By 30 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Norliza Yusof/ Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 30 Apr (Malaysiaaktif) – Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melantik 39 Penyelaras Wakil Amil dan seramai 2,019 Wakil Amil bagi menyelaras dan memungut Zakat Fitrah sepanjang bulan ramadan.

Menteri Undang-Undang dan Anak Negeri, Datuk Aidi Moktar berkata sebahagian amil yang dilantik adalah terdiri daripada pegawai-pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), penjawat awam, imam kariah, ketua kampung, pemimpin masyarakat dan orang perseorangan yang memiliki sifat amanah serta berbudi pekerti mulia.

“Kesemua mereka yang dilantik dibekalkan dengan kad kuasa bagi mengelak masyarakat Islam mengeluarkan zakat fitrah kepada orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai tauliah.

“Sementara itu, penyelaras wakil amil perlu sentiasa melakukan tinjauan dan siasatan di daerah atau zon masing-masing bagi membanteras kegiatan amil tidak bertauliah serta membuat penelitian yang betul dan tepat semasa penyenaraian asnaf fakir, miskin dan muallaf supaya hak golongan ini terus terbela.

Amil Ranau, Johari Abdullah (empat dari kiri)  menerima Sijil dan wang tunai daripada Aidi (tiga dari kanan)

Amil Ranau, Johari Abdullah (empat dari kiri) menerima Sijil dan wang tunai daripada Aidi (tiga dari kanan)

“Pemantauan berterusan juga perlu dalam memastikan semua wakil amil mematuhi kaedah penggunaan resit zakat fitrah.

“Selain itu, diharapkan para amil juga dapat menunjukkan contoh teladan yang baik dari segi akhlak, budaya kerja dan sifat amanah kepada masyarakat semasa menjalankan tugas dalam usaha menonjolkan Model Pengurusan Islam.

“Semoga usaha ini dapat menambah lagi keyakinan dan kepercayaan umat Islam kepada MUIS selaku badan atau institusi yang diamanahkan dan dipertanggungjawabkan mengendalikan urusan zakat di negeri ini.

“Para amil harus membekalkan diri dengan sifat-sifat terpuji sepanjang menjalankan tugas dan sentiasa mematuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan supaya dapat menghindari salah laku dan amalan yang bertentangan dengan hukum syarak seperti pecah amanah,” katanya.

Dr Hasbullah (tengah) mengumumkan kadar Zakat Fitrah 2019 sambil disaksikan Bungsu Aziz (kiri) dan Matussin (kanan)

Dr Hasbullah (tengah) mengumumkan kadar Zakat Fitrah 2019 sambil disaksikan Bungsu Aziz (kiri) dan Matussin (kanan)

Beliau berkata demikian pada Majlis Pengisytiharaan Kadar Zakat Fitrah Negeri Sabah bagi tahun 1440H/2019M di Wisma MUIS, pagi Selasa.

Pada tahun ini, MUIS mengumumkan kadar Zakat Fitrah di Sabah adalah kekal pada kadar RM7.00, sama seperti tahun lalu.

Penetapan kadar tersebut diumumkan Yang Dipertua MUIS, Datuk Dr Hasbullah Taha berdasarkan perkadaran bersamaan harga satu gantang Baghdad atau 2.7 kilogram beras yang dimakan majoriti penduduk negeri ini.

Pada majlis yang sama, turut disampaikan adalah enam Anugerah Penyelaras Wakil Amil Fitrah Cemerlang bagi tahun 2018 yang dianugerahkan kepada Umar Kassim dari Tawau, Awang [email protected] Satariah dari Batu Sapi, Johari Abdullah dari Ranau, Japar Abdullah dari Papar, Mohd [email protected] Majana dari Sook dan Sani Gapar dari Bongawan.

Hadir sama, Mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Jaafar; Timbalan Yang Dipertua MUIS, Datuk Matussin Awang Damit dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Saifulzaman Sangul.

EM

Tinggalkan komen anda