Skip to main content
HomeJohor

‘Pump Track’ Tumpuan Baru Daerah Batu Pahat

By 30 April 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Mazlin Basir/Noor Hidayah Mohd Izam (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 30 Apr (Malaysiaaktif) – ‘Pump Track’ merupakan satu litar basikal khusus untuk aktiviti sukan basikal lasak seperti sukan BMX dan MTB (Mountain Bike).

Fasiliti ini dibina khas untuk penggiat sukan basikal lasak menjalankan aktiviti berbasikal bagi tujuan kayuhan santai, latihan dan kejohanan. Selain itu, Pump Track adalah tempat latihan awalan bagi pengenalan kepada Sukan Supercross BMX.

Mohd Khuzzan Abu Bakar menyampaikan ucapan ketika merasmikan program pump track

Mohd Khuzzan Abu Bakar menyampaikan ucapan ketika merasmikan program pump track

Menurut Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat, Kamalludin Jamal, sejarah pembinaan Batu Pahat Pump Track ini adalah cetusan idea daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

“Penyediaan kemudahan rekreasi ini turut memberi peluang dan keselesaan kepada masyarakat atau golongan belia khususnya kepada penggiat sukan basikal dalam Batu Pahat.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat, Kamalludin Jamal (tengah)

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Batu Pahat, Kamalludin Jamal (tengah)

“Projek yang mula dilaksanakan pada 18 Disember 2018 hingga 4 Februari 2019 bagi tempoh enam minggu menelan kos projek bernilai RM234,860.00 melalui peruntukan pembangunan Majlis Perbandaran Batu Pahat,” katanya.

“Projek Pembinaan Pump Track melibatkan keluasan sepanjang 245 meter dan rekabentuk litar ini lebih berkonsepkan single track dan mempunyai level medium sesuai digunakan bagi tujuan rekreasi, latihan dan kejohanan.

Zafrin Shah Sabikin menunjukkan aksi dengan basikal BMX

Zafrin Shah Sabikin menunjukkan aksi dengan basikal BMX

“Litar ini merupakan rekod pertama di Malaysia kerana dibina menggunakan tar (asphalt) secara keseluruhan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata dengan terbinanya litar pump track ini maka secara tidak langsung dapat digunakan oleh peminat basikal ektrem bukan sahaja di daerah ini malah ada yang datang dari Kuala Lumpur dan Singapura pada hujung minggu.

Zafrin Shah Sabikin, penerima Anugerah Khas Ikon Sukan Batu Pahat

Zafrin Shah Sabikin, penerima Anugerah Khas Ikon Sukan Batu Pahat

“Harapan saya masyarakat setempat dapat menjaga dan memanfaatkan kemudahan yang dibina ini dengan baik,” ujarnya sewaktu merasmikan program pump track tersebut.

Daerah Batu Pahat mempunyai beberapa kelab yang telah ditubuhkan dan bergerak secara aktif dengan sukan BMX  dan dengan adanya kelab-kelab tersebut dapat melahirkan pelumba-pelumba BMX yang professional dan juga bertaraf dunia.

Reka bentuk litar yang berkonsepkan single track

Reka bentuk litar yang berkonsepkan single track

Menurut penerima Anugerah Khas Ikon Sukan Batu Pahat, Zafrin Shah Sabikin, 35, berkata beliau berpengalaman lebih 20 tahun dalam sukan BMX di peringkat Kebangsaan, Asia dan Antarabangsa. Beliau mengimpikan bakat-bakat baru atau pelapis-pelapis muda yang sukakan sukan ektrem ini.

“Di daerah Batu Pahat, pelumba-pelumba BMX semakin hari semakin bertambah dan dengan adanya pump track ini peminat sukan ektrem dijangka akan meningkat. Semoga semua daerah di negeri ini mempunyai pump track untuk mengelakkan anak-anak muda melakukan jenayah sosial,” katanya.

Muhamad Afif Danish (berbasikal) bersama ibu dan bapanya di tapak pump track

Muhamad Afif Danish (berbasikal) bersama ibu dan bapanya di tapak pump track

Sementara itu, Yusri Saharum, 39, bapa kepada peminat sukan lasak BMX, Muhamad Afif Danish berkata beliau menyokong penuh minat anaknya menceburi bidang sukan ektrem ini. Sudah tiga bulan anaknya aktif dalam sukan ektrem dan setiap hujung minggu beliau bersama anaknya akan berada di pump track ini. Beliau mencadangkan agar pihak kerajaan meningkatkan lagi sukan ektrem ini dengan mencari tapak yang lebih besar untuk keselesaan peminat-peminat sukan lasak BMX.

Turut hadir Pegawai Daerah Batu Pahat, Zulkiflee Abbas dan Pentadbir Tanah Daerah Batu Pahat, Abu Bakar Mohamed Salleh.

EM

Tinggalkan komen anda