
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Kota Setar)
ALOR SETAR, 2 Apr (Malaysiaaktif) – Ketua Polis Kedah yang baharu, Datuk Zainuddin Yaacob telah mengadap sembah Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah di Pejabat Sultan Kedah, di sini kelmarin.
Dalam majlis ringkas tersebut, Sultan Sallehuddin telah berkenan menerima persembahan cenderamata berupa sebuah buku dan bingkai lencana polis.
Zainuddin yang merupakan mantan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur telah menerima serah tugas sebagai Ketua Polis Kedah sejak 11 Mac lalu mengantikan Datuk Abdul Rahim Jaafar, yang memulakan tugas baharu sebagai Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman.
Beliau mula berkhidmat dalam PDRM pada 1987 dan pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Polis Perak, merafak janji kepada duli tuanku untuk meningkatkan momentum bagi mencapai prestasi yang ditetapkan jabatan.
Turut hadir, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah & Keselamatan Komuniti Kedah Dr. Zainal Abidin Sabtu dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayan Kontinjen Kedah Mior Faridalathrash Wahid.