Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurHomeKelantan

Sembilan Persepuluh Punca Rezeki Daripada Berniaga

By 2 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Lim Ann Teck (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 2 Apr  (Malaysiaaktif) – Bahulu atau baulu dikenali sebagai ‘buah ulu’ di Kelantan, mempunyai pengemarnya yang tersendiri dan menjadi punca rezeki bagi sesetengah peniaga.

Menurut Nik Ramli Nik Bakar, 46, yang membuka gerai menjual kuih baulu di sekitar bandar Kota Bharu menceburi perniagaan ini sejak tahun 2003 turut membuat kek pisang dan kiuh akok yang dipelajari sendiri.

Bagi mempelbagaikan jualan, beliau juga menjual kuih lain yang dibekalkan oleh penduduk tempatan seperti tepung pelita, karipap, dan sebagainya.

“Melalui kaedah ini, saya secara tidak langsung dapat membantu rakan-rakan yang tidak mempunyai masa dan gerai, dapat berniaga serta menjana pendapatan,” katanya yang turut dibantu isterinya, Maiza Mohamed.

Menurut Ramli, berniaga memerlukan pengorbanan tenaga dan masa di mana beliau lebih menumpukan kepada kerja-kerja menyediakan bahan-bahan seperti membancuh tepung dan menjaga dapur, manakala isterinya diberikan tugas melayan serta mengambil tempahan daripada pelanggan.

“Sepanjang 16 tahun berniaga pelbagai cabaran terpaksa dihadapi, di mana kita tidak boleh mudah putus asa. Kegagalan harus dijadikan teladan dan kita perlu belajar daripada kegagalan tersebut serta mengkaji mengapa kita gagal.

Ramli sedang menyediakan kek pisang untuk dijual di gerainya.

Ramli sedang menyediakan kek pisang untuk dijual di gerainya.

“Memang semasa mula berniaga rintangan agak perit, modal yang dikeluarkan mengambil masa untuk mendapat kembali dan kita perlu bersabar dan menyelami selok-belok perniagaan dengan betul,” katanya yang mengeluarkan modal sebanyak RM10,000 untuk membeli dapur dan peralatan membuat kuih.

Ramli turut mejelaskan sebab kenapa beliau memilih untuk berniaga adalah kerana dia percaya bahawa sembilan daripada sepuluh pintu rezeki itu datangnya daripada berniaga.

“Perniagaan memberikan kebebasan kepada saya khususnya dari segi pengurusan masa, di mana kami berniaga setiap hari, bermula pukul 8.00 pagi hingga 6.30 petang.

“Syukur dengan keadaan sekarang, biarpun manusia sudah ditentukan rezeki masing-masing namun kemudahan prasarana yang disediakan kerajaan banyak membantu, seeloknya kita menggunakan kemudahan yang ada dan rezeki yang dikurniakan ini sebaik mungkin termasuklah membantu golongan yang memerlukan,” tambahnya.

Sazwan, 35, dari Pengkalan Chepa merupakan pelanggan tetap Ramli yang sering mengunjungi gerainya bagi mendapatkan kuih baulu dan akok.

“Saya suka kuih ini kerana rasanya tidak manis sangat dan dapat membeli yang baru masak dari ketuhar, lagi pun kedua-dua kuih ini adalah kegemaran saya,” ujarnya.

-NAZ/SH

Tinggalkan komen anda