Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

KKMM Sedia Bantuan Bagi Belia Ceburi Industri Kandungan Kreatif

By 3 April 2019Tiada komen2 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 3 April (Malaysiaaktif) – Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata kerajaan telah memperkenalkan bantuan Dana Kandungan Digital (DKD) kepada penggiat industri kandungan kreatif tempatan termasuk golongan belia untuk menghasilkan karya yang bermutu.

Dana ini melalui Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) disasarkan kepada penggiat seni individu tanpa mengira umur dan syarikat yang berkecimpung dalam industri kandungan kreatif merangkumi filem dan televisyen, animasi, permainan digital, dokumentari dan filem pendek, katanya.

“Kementerian melalui Finas juga komited dalam melahirkan karyawan pelapis dalam kalangan belia dengan memperkenalkan program pemerkasaan modal insan industri perfileman yang meliputi program pemacuan, pembangunan kemahiran, perkongsian idea dan kesedaran industri kreatif,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) yang ingin tahu cara membantu belia melibatkan diri dalam pengeluaran filem dan program hiburan tempatan dan kesudian RTM untuk membeli hasil visual tempatan itu.

“Penyaluran DKD adalah melalui dana mikro, iaitu inisatif kerajaan untuk menyokong pencipta kandungan yang memberi tumpuan kepada pembikinan kandungan video pendek untuk tayangan dan perkongsian pada platform media sosial seperti Youtube, Instagram dan Facebook,” katanya.

Eddin Syazlee berkata peruntukan pembiayaan dana mikro adalah sehingga RM5,000 bagi satu projek untuk pemohon layak bergantung kepada idea, subjek dan kos pembikinan.

“Bilangan projek yang diluluskan dari 2016 sehingga 2018 ialah sebanyak 175 projek dengan nilai kelulusan berjumlah RM757,000.

“Individu yang berminat membekalkan program televisyen kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) perlu mempunyai syarikat yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Finas,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Ling sama ada kerajaan bercadang mengeluarkan lesen siaran televisyen kepada parti politik, Eddin Syazlee berkata kerajaan masih belum ada perancangan itu buat masa ini.- BERNAMA

Tinggalkan komen anda