Skip to main content
Berita TempatanJohor

Kluang Ke Arah Bebas Rasuah

By 30 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Norsaedah Haron/Abassalimi Mohamad/Ihsan FB Pejabat Daerah Kluang (Kluang)

KLUANG, 30 Apr (Malaysiaaktif) – Hampir 400 penjawat awam dan pemimpin masyarakat hadir dalam Majlis Menandatangani Ikrar Bebas Rasuah dan Taklimat Pencegahan Rasuah Peringkat Daerah Kluang, yang diadakan di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, baru-baru ini.

Dalam ucapan Pegawai Daerah Kluang selaku ketua bagi penjawat awam daerah, Ismail Abu, beliau berkata penjawat awam hari ini berdepan dengan pelbagai cabaran kesan daripada perubahan persekitaran kerja yang semakin kompleks menyebabkan perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan sering dipandang negatif oleh masyarakat.

Pegawai Daerah Kluang menandatangani watikah ikrar bebas rasuah, disaksikan oleh Timbalan Pengarah SPRM Negeri Johor

Pegawai Daerah Kluang menandatangani watikah ikrar bebas rasuah, disaksikan oleh Timbalan Pengarah SPRM Negeri Johor

“Mereka beranggapan kelemahan ini disebabkan oleh penjawat awam itu sendiri. Justeru, pihak kerajaan sentiasa mengambil langkah proaktif untuk memantapkan integriti bagi memastikan penjawat awam menjunjung dan menegakkan prinsip integriti serta akauntabiliti ke arah mencapai sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih telus, cemerlang dan berdaya saing.

“Kerajaan telah bersetuju untuk menubuhkan Unit Integriti di semua agensi awam berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2013 sebagai ‘focal point’ kepada pengurusan isu-isu berkaitan integrity,” ujarnya.

Penyerahan watikah ikrar bebas rasuah oleh Pegawai Daerah Kluang kepada Timbalan Pengarah SPRM Negeri Johor

Penyerahan watikah ikrar bebas rasuah oleh Pegawai Daerah Kluang kepada Timbalan Pengarah SPRM Negeri Johor

“Integriti dalam perkhidmatan awam bukan hanya memfokuskan mengenai isu-isu rasuah, pematuhan berkaitan sistem dan prosedur kerja, tatacara kewangan dan isu-isu tatatertib malahan ia juga meliputi segala aspek budaya kerja seperti menjalankan tugas dengan penuh dedikasi dan menjalinkan hubungan yang baik antara ketua jabatan, rakan sekerja dan jua kakitangan sokongan.

“Oleh itu integriti sewajarnya menjadi pegangan kukuh dalam diri setiap penjawat awam dan mahu mereka mengamalkan setiap masa bagi memastikan persekitaran kerja yang kondusif dapat diwujudkan dalam sesebuah organisasi,” ujarnya lagi.

Taklimat berkaitan rasuah oleh Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Johor, Koo Lik Chi.

Taklimat berkaitan rasuah oleh Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Johor, Koo Lik Chi.

Majlis disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia negeri Johor, Ridzuan Abd Malik dan turut disaksikan Pegawai Daerah Kluang, Ismail Abu, yang mengetuai lafaz ikrar bebas rasuah bersama peserta yang hadir.

Sejurus selesai majlis, peserta kemudian diberikan taklimat berkaitan rasuah yang disampaikan oleh Ketua Unit Pendidikan Masyarakat SPRM Johor, Koo Lik Chi.

EM

Tinggalkan komen anda