
Laporan/foto: Asmidar Zainol/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)
KOTA KINABALU, 22 Apr (Malaysiaaktif) – Konsulat Agung Negara Brunei Darussalam, Pengiran Nooriyah Pengiran Yussof mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni di Istana Negeri.

Pengiran Nooriyah (kanan) berbual mesra dengan Tun Juhar (kiri) dan Toh Puan Norlidah (tiga dari kanan).
Menurut Nooriyah, kunjungan tersebut bertujuan untuk memaklumkan kepada Tun Juhar tentang pertukaran dan pelantikan beliau sebagai Duta Besar Brunei Darussalam ke Republik Korea pada Mei nanti.
“Saya akan pulang ke Brunei Darussalam pada 29 April ini selepas berkhidmat hampir tiga tahun di sini.

Pengiran Nooriyah (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada Toh Puan Norlidah (empat dari kanan).
“Saya berharap hubungan baik dan kerjasama di antara Brunei Darussalam dan Malaysia akan terus dipertingkatkan lagi dalam usahasama sedia ada termasuk dalam bidang pendidikan dan pertanian,” ujarnya.
Kunjungan hormat tersebut turut dihadiri Setiausaha Ketiga Brunei Darussalam di Sabah, Mohamad Asulhamhaidi Hj Mohd Ashrane.