Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

Orang Ramai Dijemput Ke Hari Terbuka Armada Sabtu, Ahad Ini

By 23 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Asmidar Zainol/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 22 Apr (Malaysiaaktif) – Orang ramai dijemput ke Hari Terbuka Armada sempena Sambutan Hari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Ke-85 di Markas Wilayah Laut 2 Sandakan, pada Sabtu dan Ahad ini.

Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Sabri Zali berkata pelbagai acara disusun untuk para pengunjung sepanjang dua hari itu yang bermula seawal 9 pagi hingga 6 petang.

“Antaranya adalah pameran kerjaya, karnival kesihatan, lawatan ke kapal, pelayaran kapal dan demonstrasi Combat Boat (CB) 90 dan sebagainya.

“Selain itu, kita juga membawa khas Kapal Diraja (KD) Kasturi ke Sandakan untuk memberi peluang kepada orang ramai melihat sendiri suasana dan keadaan kapal tersebut,” katanya.

Sabri (kiri) berbual dengan Tun Juhar (kanan) semasa kunjungan tersebut.

Sabri (kiri) berbual dengan Tun Juhar (kanan) semasa kunjungan tersebut.

Dalam pada itu, Sabri memaklumkan, pihaknya kini berusaha untuk mewujudkan Markas Wilayah Laut 2 yang baharu memandangkan fasiliti yang ada sekarang tidak mencukupi dan tidak dapat menampung tugas dan kekuatannya.

Oleh itu kata beliau, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang dalam proses perbincangan berkaitan pemilikan tanah yang dicadangkan iaitu tanah milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Karamunting.

“Sekiranya perkara ini direalisasikan, barulah proses membida Peruntukan Perbelanjaan Pembangunan (Development Expenditure atau DE) dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) akan dibuat.

“Antara keperluan lain bagi pembinaan markas baharu ini adalah untuk menampung lebih banyak kapal yang akan ditempatkan di Sandakan dan kemasukan inventori kapal TLDM yang baharu ke Kota Kinabalu yang merupakan Markas Armada Timur sekarang.

Sabri (kiri) menerima cenderamata daripada Tun Juhar (kanan).

Sabri (kiri) menerima cenderamata daripada Tun Juhar (kanan).

“Di samping itu, sebahagian daripada kapal-kapal lama yang ada juga akan ditempatkan di Sandakan untuk menambahkan lagi kawalan keselamatan di kawasan Pantai Timur Sabah,” ujarnya kepada media selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, hari ini.

Antara tujuan kunjungan tersebut adalah untuk memperkenalkan dirinya sebagai Panglima Wilayah Laut 2, Markas Wilayah Laut 2 Sandakan yang baharu sejak 18 Januari lepas bagi menggantikan pemangku Panglima Wilayah Laut 2, Kapten Azeman Yusoff.

EM

Tinggalkan komen anda