
Laporan/foto: Fauzrina Bulka/Asmidar Zainol/Azman Jumat (Kota Kinabalu)
RANAU, 7 Apr (Malaysiaaktif) – Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) menyasarkan penglibatan satu juta pelajar dalam program Minggu Sains Negara 2019.
Timbalan Menterinya, Isnaraissah Munirah Majlis berkata, ini adalah usaha bagi menerap minat sains, teknologi dan inovasi (STI) dalam kalangan golongan tersebut.
“Kita menyasarkan 80 ribu peserta bagi setiap negeri dan bagi tujuan berkenaan, pelbagai program telah dirancang oleh agensi-agensi di bawah MESTECC.
“Pelaksanaan Minggu Sains Negara 2019 akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut dua fasa iaitu, fasa pertama pada bulan April dan fasa kedua pada bulan Ogos nanti.
“Bagi fasa pertama iaitu April, sambutan berkenaan diadakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak dan Terengganu manakala pada Ogos nanti di Melaka, Johor, Perak, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Pahang, Kelantan, Perlis, Kedah dan Selangor,” ujarnya.
Tambah Isnaraissah, sambutan dengan tema ‘Sains Untuk Kesejahteraan’ tersebut, dapat memberi kesan yang besar kepada kelestarian alam sekitar dan masyarakat dalam membangunkan negara yang mampan.
“Kita perlu mempersiapkan diri terutamanya generasi akan datang dengan kefahaman, penghayatan dan kesedaran setiap individu mengenai Revolusi Industri (IR) 4.0 yang menuntut pembaharuan dan penemuan pelbagai teknologi dalam bidang robotik automasi, penjanaan kuasa elektrik, artificial intelligence, virtual reality dan augmented reality.
“Oleh yang demikian, sambutan Minggu Sains Negara 2019 ini menjadi platform MESTECC dalam mendokong usaha kerajaan melahirkan lebih ramai saintis dan penyelidik pada masa hadapan,” katanya semasa menyampaikan ucapan sempena pelancaran Minggu Sains Negara 2019 Peringkat Sabah di sini, semalam.
Minggu Sains Negara 2019 peringkat Negeri Sabah bermula 1 hingga 7 April di Sandakan, Kota Belud dan Kundasang menawarkan pelbagai aktiviti berteraskan STI dan STEM antaranya ceramah dan pocket talk, pertandingan idola penyampai cuaca, Model Tenaga Baharu, CSI Game, Hands On Water Quality Kit, dan DNA Extraction.
Selain itu, dua lagi program akan turut berlangsung bersempena dengan sambutan Minggu Sains iaitu Sambutan Hari DNA pada 22 hingga 24 April dan Larian Sains pada 27 April ini.
Sambutan Minggu Sains Negara 2019 Peringkat Negeri Sabah merupakan kesinambungan daripada pelancaran Sambutan Minggu Sains Negara 2019 pada 2 April lalu dan merupakan sambutan anjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sejak 2002.