Skip to main content
Berita TempatanHomeJohor

Nasi Ambeng Tradisi Jawa Masih Popular di Batu Pahat

By 1 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Pelapor/foto: Hamisah Sumar/Muhammad Shah Hood/Syafiqah Nazwa Korie (Johor Bahru)

BATU PAHAT, 1 April (Malaysiaaktif) – Sebut sahaja nasi ambeng, pasti kita dapat membayangkan nasi putih yang dibungkus dengan daun pisang dengan lauk-pauknya yang bermacam-macam seperti ayam masak kicap atau kari pekat, mi goreng, ikan masin bulu ayam, serunding kelapa, urap pucuk ubi, sambal goreng jawa dan tempe goreng.

Rasanya sedap tak terkata membuatkan nasi ambeng sering menjadi hidangan utama ketika majlis kenduri kesyukuran di daerah Batu Pahat.

Nasi ambeng masih menjadi menu utama setiap kali kenduri kesyukuran di daerah Batu Pahat

Nasi ambeng masih menjadi menu utama setiap kali kenduri kesyukuran di daerah Batu Pahat

Bagi Nurleeta Mokhtar, 44, beliau yang berasal dari Bentong, Pahang sangat teruja apabila menghadiri majlis kenduri kesyukuran di rumah keluarga suaminya di Semerah, Batu Pahat kerana setiap kali kenduri, nasi ambeng akan menjadi menu utama di sini.

Menurutnya, keluarga sebelah suami masih mengekalkan tradisi nasi ambeng setiap kali kenduri bagi mengekalkan warisan tersebut supaya tidak hilang ditelan zaman.

Jiran tetangga akan bergotong-royong menyediakan menu nasi ambeng sebelum majlis kenduri kesyukuran

Jiran tetangga akan bergotong-royong menyediakan menu nasi ambeng sebelum majlis kenduri kesyukuran

“Selalunya, apabila kita menghadiri sesuatu majlis kesyukuran atau majlis kenduri-kendara, kita akan dihidangkan dengan jamuan nasi buffet tetapi yang uniknya di Batu Pahat, nasi ambeng masih lagi menjadi menu hidangan utama setiap kali diadakan kenduri kesyukuran.

“Nasi ambeng tersebut akan dihidangkan menggunakan dulang yang bercampur bersama lauk pauknya untuk dimakan oleh empat atau lima orang dan dimakan dengan tangan. Kemudian nasi yang tidak habis akan dibungkus untuk dibawa balik dan ia dikenali sebagai ‘bontrot’.

Penyediaan nasi ambeng akan diadakan secara gotong-royong sebelum majlis kenduri kesyukuran diadakan.

Penyediaan nasi ambeng akan diadakan secara gotong-royong sebelum majlis kenduri kesyukuran diadakan.

“Penyediaan nasi ambeng pula akan diadakan secara gotong-royong sebelum majlis kenduri kesyukuran diadakan. Jiran tetangga dan kaum keluarga akan bergotong-royong memasak jamuan dan seterusnya menyiapkan hidangan tersebut,” katanya yang turut bersama menyediakan dulang nasi ambeng bersama jiran tetangga.

Melalui gotong-royong memasak, ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturrahim, malah dapat bertukar-tukar pendapat dan idea.

Jiran tetangga dan saudara mara yang datang pula akan membawa pelbagai jenis kuih-muih yang turut dihidangkan semasa kenduri.

Nasi ambeng dimakan sedulang oleh empat atau lima orang menggunakan tangan

Nasi ambeng dimakan sedulang oleh empat atau lima orang menggunakan tangan

Uniknya, sajian masyarakat jawa ini mempunyai maksud tersirat di sebalik konsep makan sedulang.

Nasi ambeng dilihat sebagai gambaran kekuatan ikatan silaturrahim dalam masyarakat apabila satu dulang dikongsi makan oleh empat hingga lima orang atau dibungkus untuk dinikmati bersama ahli keluarga.

EM

Tinggalkan komen anda