Skip to main content
Berita TempatanHomeSabah

UiTM Sarawak, Sabah Jalin Kerjasama Penyelidikan Perkembangan Islam Borneo

By 1 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/foto: Idris Sani Saberun/Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 1 Apr (Malaysiaaktif) – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak dan UiTM Sabah bakal menjalinkan kerjasama penyelidikan berkenaan dengan perkembangan Islam di Borneo.

Reaktor UiTM Sarawak, Prof. Datuk Dr. Jamil Hamail berkata, kerjasama penyelidikan antara universiti-universiti di Borneo dilihat mampu diterjemahkan kepada sebuah buku yang boleh dijadikan sebagai bahan rujukan untuk para pengkaji sejarah mahupun masyarakat umum yang ingin mengetahui dengan lebih mendalam berkenaan dengan perkembangan Islam di kepulauan ini.

Dr. Jamil (dua dari kanan) menjelaskan tujuan penyelidikan kepada Tun Juhar (kiri) pada kunjungan hormat tersebut.

Dr. Jamil (dua dari kanan) menjelaskan tujuan penyelidikan kepada Tun Juhar (kiri) pada kunjungan hormat tersebut.

“Sebelum ini kerjasama penyelidikan telah pun dimulakan dan penyelidikan ini telah membuahkan beberapa penerbitan buku.

“Bagi UiTM Sarawak kerjasama penyelidikan yang dijalinkan di antara universiti-universiti di Borneo telah menghasilkan dua buah buku yang bertajuk ‘Sejarah Perkembangan Wali Songo’ dan ‘Travelog Kembara Wali Songo – Dari Borneo ke Tanah Jawa’ yang telah dilancarkan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud di Oxford Islamic Centre, Oxford University, United Kingdom pada Januari yang lalu.

Abdul Kadir (kiri) dan Dr. Jamil (tengah) mendengar pandangan Tun Juhar.

Abdul Kadir (kiri) dan Dr. Jamil (tengah) mendengar pandangan Tun Juhar.

“Setakat ini UiTM memiliki tujuh orang penyelidik dari pelbagai kepakaran bagi merealisasikan usaha ini.

“Atas dasar itu, pada hari ini kami mengadakan pertemuan kepada Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bagi memohon perkenan Tun Juhar bagi menjalinkan usaha ini,” jelas beliau sejurus mengadakan kunjungan hormat di Istana Negeri, pada Isnin.

Beliau berharap agar kajian dan penyelidikan antara UiTM Sarawak dan Sabah akan mampu merungkai perjalanan sejarah dan ketamadunan Islam di Borneo untuk tatapan ilmiah generasi akan datang.

Turut hadir, Reaktor UiTM Sabah, Prof. Datuk Dr. Abdul Kadir Rosline.

EM

Tinggalkan komen anda