Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Pasar Karat Hidupkan Malam di Kota Bharu

By 14 April 2019Tiada komen4 minit bacaan
Laporan / Foto : Siti Meriam Mohamad (Kelantan)

KOTA BHARU, 14 Apr (Malaysiaaktif) – ‘Pasar Karat’ atau pusat jualan barangan terpakai seolah-olah menjadi satu trending dan diminati masyarakat hari ini.

Pasar Karat pertama yang masih beroperasi sejak awal 80an hingga sekarang ialah Pasar Karat Lorong Kulit di Road Walk Pulau Pinang. Seterusnya trend ini menular ke negeri-negeri lain seperti Pasar Karat Station Keretapi Ipoh, Pasar Karat Sungai Seget Johor Bahru dan lainnya.

Boleh dikatakan hampir setiap negeri mempunyai Pasat Karat tersendiri, sama ada besar atau kecil dan trend ini turut menular ke bandar Kota Bharu, Kelantan.

Aktiviti perniagaan di bandar Kota Bharu sangat aktif khususnya pada musim cuti sekolah dan perayaan. Bandar Kota Bharu menjadi sesak dengan kenderaan dan pelancong daripada luar tertumpu ke pusat-pusat niaga.

Antara pusat niaga yang menjadi tumpuan ialah Pasar Siti Khadijah, Bazar Buluh Kubu, Bazar Tengku Anis dan pelbagai tempat lagi.

Namun kerancakan aktiviti perniagaan dan membeli belah hanya dijalankan pada waktu siang. Bandar Kota Bharu seolah-olah “mati” selepas berakhirnya aktiviti selepas pukul enam petang.

Antara barangan vintage yang terdapat dalam kedai di Collectible Bazaar KB

Antara barangan vintage yang terdapat dalam kedai di Collectible Bazaar KB

Tempat tumpuan masyarakat beralih ke Wakaf Che Yeh, Lembah Sireh, Bandar Baru Tunjung dan Kubang Kerian bagi aktiviti malam.

Menyedari potensi bandar Kota Bharu dan pasaran, Persatuan Peminat dan Penjual Barangan Kolektibel Kelantan yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (R.O.S), telah menggerakkan satu inisiatif untuk menyuntik ‘roh’ dengan mewujudkan Pasar Karat Bandar Kota Bharu bagi menghidupkan aktiviti perniagaan malam hari.

Di samping aktiviti perniagaan, Pasar Karat ini juga berjaya menjadi salah satu destinasi libur bagi pelancongan di malam hari.

Pasar Karat Kota Bharu terletak di perkarangan Bazar Tuan Padang, Jalan Dato’ Pati dan mula beroperasi sejak 5 April 2018. Lokasi yang strategik di tengah-tengah bandar menjadi daya penarik masyarakat terutamanya golongan belia dan pelancong-pelancong.

Pengerusi Persatuan Peminat dan Penjual Barangan Kolektibel Kelantan, Amir Hamzah Abdul Shukor, 49,berkata selain daripada minat yang mendalam terhadap aktiviti mengumpul barangan ‘vintage’ pihaknya juga ingin melihat Bandar Kota Bharu mempunyai pusat sehenti untuk peminat-peminat barangan di pasar karat.

“Sebelum ini jika pelancong-pelancong luar datang ke Kota Bharu, yang sentiasa menjadi persoalan adalah di mana tempat menarik yang ingin dituju pada waktu malam. Dengan adanya pasar ini dapat menyelesaikan persoalan dan rungutan serta merancakkan aktiviti ekonomi setempat,” katanya.

“Sebenarnya Pasar Karat Kota Bharu bermula sejak tahun 2015 lagi bertempat di sekitar Kampung Kraftangan dan berpindah lokasi di perkarangan Pasar Siti Khadijah dan Bazar Buluh Kubu. Tahun lepas kami berpindah ke tapak ini setelah ditawarkan oleh Pihak Majlis Perbandaran Kota Bharu,” tambahnya.

Amir Hamzah Abdul Shukor, Pengerusi Persatuan Peminat dan Penjual Barangan Kolektibel Kelantan

Amir Hamzah Abdul Shukor, Pengerusi Persatuan Peminat dan Penjual Barangan Kolektibel Kelantan

“Hampir 80 orang peniaga telah menyertai pasar ini dan turut mendapat keterlibatan pihak FAMA, KADA dan KB Buskers,” ujarnya lagi.

Pasar Karat Kota Bharu dibuka pada hari Khamis dan Jumaat bermula pukul 8.00 malam hingga 12.00 tengah malam. Ianya dapat menarik minat hampir 1000 orang pengunjung tempatan dan luar.

Keunikan di pasar ini adalah pertunjukan ‘cosplay’, ‘food truck’, jualan pakaian, persembahan buskers, permainan, barangan terpakai (bundle) dan Collectible Bazaar KB.

Collectible Bazaar berada di Tingkat 1 Bazar Tuan Padang ini menempatkan 25 lot kedai dan merupakan yang pertama di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Lot-lot kedai ini menempatkan pengumpul-pengumpul barangan antik, vintage, retro, barangan purba, numismetik, filateli dan kolektibel.

Menurut Amirul Md Saufi, 30, salah seorang pemilik kedai berkata, peminat-peminat dan pengumpul barangan lama tidak perlu ke tempat lain lagi. Semuanya sudah tersedia di sini. Cuma perlu dipromosikan lagi akan keberadaan tempat ini.

Rushdi Yusof,40, Kolektibel Vintage Toys berpendapat agar pihak kerajaan dapat mengundang dan melibatkan Persatuan Kolektibel Peminat dan Penjual Barangan Kolektibel Kelantan dalam program-program jabatan atau agensi yang bersesuaian bagi membuka ruang promosi kepada mereka.

Salah seorang pengunjung Mohd Amir Mat Ti, 24, berkata beliau sentiasa berkunjung ke pasar ini untuk mendapatkan barangan yang diperlukan dan bersantai pada waktu malam.

“Saya juga sanggup datang ke Bandar Kota Bharu walaupun tinggal di Pasir Tumboh untuk merasai kemeriahan malam di pasar karat, tambahan pula tiada aktiviti dan pusat-pusat hiburan di Kelantan ini,” ujarnya.

Pasar Karat Kota Bharu telah disenaraikan sebagai destinasi menarik yang wajib dikunjungi oleh pelancong-pelancong yang ingin ke negeri ini. Usahasama dalam mempromosikan lagi pasar ini sedang giat dijalankan oleh pihak Kerajaan Negeri dan juga Kerajaan Persekutuan.

-NAZ

Tinggalkan komen anda