Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomeKedah

Pegawai Daerah Masuk ‘Gedehok’

By 30 April 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Mahazir Abu Hassan/Zainaudin Ab Hamid (Baling)

BALING, 30 Apr (Malaysiaaktif) – Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Md Yusof Husin,70, penghuni Madrasah Misbah al-Falah Pondok Lanai, di sini apabila Pegawai Daerah Baling Datuk Md Shuhaime Abd Rahman turun padang menjayakan program sempena sambutan Ramadan yang bakal tiba nanti.

“Saya teruja dapat berjumpa dan beramah mesra dengan beliau dan lebih membanggakan beliau sanggup turun bersama-sama warga pondok dan orang kampung ke tempat sembelihan kerbau yang beliau sumbangkan serta bertungkus lumus memotong daging dan memasak di ‘gedehok’ iaitu bangsal tempat memasak,” katanya ketika ditemui hari ini .

Pengetua Misbah al-Falah Pondok Lanai Ustaz Md Mukhtar Omar Zuhdi berkata beliau amat bersyukur kerana madrasah ini dipilih oleh pihak Pejabat Daerah Baling untuk dilaksanakan program ini.

“Selama 30 tahun saya mengambil alih menguruskan madrasah, ini adalah kali pertama pegawai daerah ke sini dan kami amat terharu dengan kepimpinan, komitmen dan semangat yang beliau tampilkan.

Anak-anak madrasah dan orang kampung menjamu selera.

Anak-anak madrasah dan orang kampung menjamu selera.

“Malah jabatan-jabatan berkaitan turut turun padang ke program ini bagi mengenal pasti permasalahan yang ada di madrasah ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan (Pengurusan Tanah) Ilias Shuib, berkata ini merupakan peluang terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim.

“Saya amat gembira melihat anak-anak di madrasah ini turut menggembleng tenaga menjayakan program dan ini memberi mereka peluang untuk belajar serta beramah mesra dengan kakitangan kerajaan dan orang-orang kampung di sini,” katanya.

Madrasah Misbah al-Falah yang berusia 60 tahun ini diasaskan oleh Tuan Guru Omar Zuhdi, dan kini mempunyai kira-kira 500 pelajar putera dan puteri, 100 warga emas dan 40 ibu tunggal.

-SH

Tinggalkan komen anda