Laporan/Foto : Siti Noor Asmani Che Mat Saleh(Tumpat)
TUMPAT, 24 Apr (Malaysiaaktif) – Permainan karom adalah aktiviti santai yang tidak mengeluarkan peluh namun menguji kemahiran berfikir dan merancang serta bertindak secara strategik.
Memenuhi permintaan kalangan masyarakat setempat di samping menyebarkan maklumat serta dasar semasa kerajaan, Pejabat Penerangan Daerah Tumpat telah mengambil inisiatif mengajurkan ‘Pertandingan Karom Tertutup Beregu’ di perkarangan Pejabat Penerangan Daerah Tumpat hari ini.
“Permainan karom boleh dijadikan platform untuk mengawal aktiviti orang muda dan juga boleh melatih pemikiran secara kreatif, ketepatan berfikir untuk memenangi sesebuah permainan, secara tidak langsung dapat menjadikan pemain tersebut seorang yang lebih matang dalam kehidupan seharian,” kata Muhamad Rosli Mustafar, 46, merupakan penasihat Kelab Karom Kampung Delima, Tumpat.
Bagi Shaari Hassan, 55, berpendapat permainan karom dapat mengisi masa lapang belia dengan lebih bermanfaat selain mengeratkan lagi hubungan sesama masyarakat apabila ia dipertandingkan di sesebuah kawasan.
“Terima kasih kepada pihak Pejabat Penerangan Daerah Tumpat yang telah menganjurkan pertandingan pada kali ini,” ujarnya lagi.
“Objektif Jabatan Penerangan untuk menyebarkan maklumat berkaitan dasar-dasar kerajaan kepada masyarakat telah direalisasikan bersempena dengan Pertandingan Karom Tertutup Beregu yang telah berlangsung di perkarangan Pejabat Penerangan Daerah Tumpat ini,” kata Pegawai Penerangan Daerah Tumpat, Fadli Muhamad.
“Pertandingan ini telah berjaya menarik penyertaan lebih 80 orang yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat, fahaman politik dan sosio ekonomi dan kita juga mengedarkan bahan penerbitan jabatan kepada mereka yang berkunjung ke sini. Ini adalah pengisian bagi mempromosikan PMR Tumpat yang telah tercalon dalam Pertandingan PMR Champion,” kata Fadli Muhamad dalam ucapan perasmian program.
Permainan karom adalah sukan yang bebas dan tiada had umur, sesiapa sahaja boleh menyertainya dan peserta termuda yang menyertai pertandingan ini dari umur 10 tahun sehinggalah golongan warga emas yang berusia 65 tahun.
Johan pertandingan karom secara beregu ini telah dimenangi oleh Mohd Sabri Nordin dan Mohd Norhisyam Mat Rahim dari Kampung Masjid yang membawa pulang hadiah berupa hamper, turut diadakan ialah acara cabutan nombor bertuah.