
Laporan/foto: Sharifah Ithnin (Melaka Tengah)
AYER KEROH, 29 Apr (Malaysiaaktif) – “Liputan Kesihatan Sejagat, Setiap Orang Di mana Sahaja” merupakan tema bagi Hari Kesihatan Sedunia 2019 bersempena Majlis Perasmian Hari Kesihatan Sedunia dan Pelancaran Kempen “When Active Living Kicks” (WALK) Peringkat Negeri Melaka bertempat di Taman Botanikal di sini, Sabtu lalu.
Menurut Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri Melaka, Low Chee Leong, kerajaan sangat mengambil berat tentang perkhidmatan kesihatan dalam kalangan rakyat dengan memastikan segala kemudahan dapat dipertingkatkan.
“Kerajaan akan sentiasa menggalakkan pembinaan hospital dan klinik swasta bagi menyediakan perkhidmatan perubatan terbaik kepada masyarakat dan yang paling utama adalah ianya mampu dibiayai oleh rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Negeri Melaka, Rushidi Ramly berkata adalah menjadi keutamaan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan sistem penyampaian penjagaan kesihatan terbaik kepada masyarakat dilakukan melalui sumber yang ada.
“Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana turut memberi komitmen melancarkan juga kempen “When Active Living Kicks” yang merupakan satu simbolik kepada rakyat agar mulakan hidup dengan lebih aktif,” ujar Rushidi.
Majlis ini turut diserikan dengan persembahan Flashmob kecergasan dan cabutan bertuah.