Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Bayaran Sara Hidup, Pendahuluan Hasil Peneroka Sebelum Aidilfitri – Azmin

By 23 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 23 Mei (Malaysiaaktif) – Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi keyakinan bayaran sara hidup dan pendahuluan hasil peneroka Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan dilunaskan sebelum Aidilfitri ini.

Beliau berkata keutamaan kerajaan kini untuk memastikan bayaran berjumlah RM6.23 bilion kepada 112,635 peneroka di 317 tanah rancangan ditunaikan dan tidak menjanjikan sebarang imbuhan bonus seperti amalan sebelum ini sejak tahun 2011.

“Saya percaya peneroka FELDA juga sedia maklum tentang kedudukan kewangan negara amat ketat. Keutamaan kerajaan untuk melihat nasib dan kebajikan mereka dapat dibela untuk jangka panjang.

“Kertas Putih FELDA yang dibentangkan berjumlan RM6.23 bilion adalah satu jumlah yang besar ia merupakan keutamaan.

“Setakat ini kita mahu salurkan dahulu pinjaman sara hidup dan pendahuluan hasil dan saya mahu ianya diselesaikan sebelum hari raya (Aidilfitri),” katanya.

Mengulas lanjut, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata beliau tidak mahu memberikan sebarang janji untuk memberikan bonus kepada peneroka.

“Saya tidak mahu berikan sebarang janji (bonus kepada peneroka) kerana untuk dapatkan RM6.23 bilion pun perkara yang amat besar bagi kerajaan.

“Kita tidak mahu perbelanjaan yang tidak memberikan manfaat kepada peneroka,” kata Timbalan Presiden PKR itu.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Iftar dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di Surau Jabal Nur, Taman Seri Gombak semalam.

Di majlis tersebut, Azmin menyampaikan sumbangan kepada 500 penerima terdiri asnaf, warga emas dan fakir miskin dari DUN Gombak Setia yang disumbangkan Perbadanan Menteri Besar (MBI).

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Muhamad Hilman Idham, Pemangku Yang Di-Pertua Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Datuk Dr Juhari Ahmad dan Ketua Pegawai Operasi MBI, Soffan Affendi Aminudin.

Pada 10 April lalu, Azmin membentangkan Kertas Putih FELDA di Dewan Rakyat yang merupakan usaha kerajaan mengembalikan FELDA sebagai sebuah agensi yang mampu mengangkat martabat peneroka dan menjamin kelestarian FELDA.

-NAZ

Tinggalkan komen anda