Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Enam Syarikat Menunaikan Bayaran Zakat Perniagaan RM10.8 Juta

By 23 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / foto : Mohamad Zairin Mohamad Zin (Selangor)

SHAH ALAM, 23 Mei (Malaysiaaktif) – Sebanyak enam syarikat korporat menunaikan bayaran zakat perniagaan masing-masing berjumlah RM10,835,939,03 pada tahun ini dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat tersebut pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat bertempat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam malam tadi.

Enam syarikat korporat tersebut adalah Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang diwakili oleh Pengurus Besar Kewangan, Ahmad Rizal Omar dengan bayaran zakatnya sebanyak RM4,414,826. Ia diikuti pula oleh Universiti MAHSA yang diwakili oleh Pengerusinya, Prof Tan Sri Datuk Dr. Mohamed Haniffa Abdullah dan telah menyerahkan zakat sebanyak RM1,320,000.

Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) pula telah diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Raja Shahreen Raja Othman dan mengeluarkan zakat berjumlah RM1,761,293.03 dan seterusnya adalah Sime Darby Property yang diwakili oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Wan Hashimi Al Bakri yang telah mengeluarkan zakat perniagaan sebanyak RM1,000,000.

Sultan Selangor berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada golongan asnaf

Sultan Selangor berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada golongan asnaf

Dua syarikat lagi adalah Kumpulan Syarikat Rafulin Holdings Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengarah Urusan, Datuk Mohamed Raffe Chekku dengan membayar zakat sebanyak RM1,339,820 dan yang terakhir adalah Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) yang mewakilkan Pengurus Besar Kumpulan, Tamby Omar Mohamed menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1,000,000.

Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada 439 orang asnaf sebanyak RM500 setiap orang membabitkan jumlah zakat sebanyak RM219,500 dan baginda berkenan menyampaikan insentif kepada Johan Qari Peringkat Antarabangsa 2019, Abdul Khair Jalil sebanyak RM10,000.

Turut hadir adalah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Norashikin, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari. Baginda turut berkenan berbuka puasa bersama dan seterusnya menunaikan solat Maghrib, Isyak dan terawih berjemaah bersama rakyat.

-NAZ

Tinggalkan komen anda