Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Guna VSP Maklumkan Balik Kampung – Omar

By 29 Mei 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Zuraidah Ahmad/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 29 Mei (Malaysiaaktif) – Orang ramai digalakkan membuat pemakluman balik kampung sempena sambutan Aidilfitri ini menerusi aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata aplikasi tersebut lebih mudah berbanding kaedah biasa yang memerlukan pemohon hadir dan mengisi borang di balai Polis.

“Kita menyeru orang ramai yang hendak meninggalkan rumah sempena hari raya ini agar mengisi borang di mana-mana balai Polis berhampiran.

GIMIK...Omar (tengah) bersama Humprey (tiga dari kanan), Jauteh (paling kanan) dan Ahmad Fadzillah (tiga dari kiri) meyempurnakan gimik pelancaran OP Selamat Ke-15.

GIMIK…Omar (tengah) bersama Humprey (tiga dari kanan), Jauteh (paling kanan) dan Ahmad Fadzillah (tiga dari kiri) meyempurnakan gimik pelancaran OP Selamat Ke-15.

“Pemakluman balik kampung juga boleh dibuat melalui aplikasi VSP kerana ia lebih mudah dan pantas.

“Bagi mereka yang belum menjadi ahli, masih belum terlambat dan kita menggalakkan orang ramai untuk mendaftar sebagai ahli dengan hanya memuat turun sahaja di telefon pintar anda,” ujarnya.

Tambah Omar, pemakluman itu membolehkan anggota Polis menjalankan rondaan di kawasan rumah berkenaan sepanjang tempoh ia ditinggalkan.

Beliau yang ditemui media pada Majlis Pelancaran OP Selamat Ke-15 di Suria Sabah, pada Selasa menyatakan operasi berkenaan akan bermula pada 29 Mei hingga 12 Jun 2019 dengan motto “OP Selamat: Rumah Selamat Sampai Ke Destinasi”.

Jelasnya, OP kali ini berkonsepkan penguatkuasaan yang menyeluruh bagi meningkatkan kesedaran pemandu serta pengguna jalan raya mengenai kepentingan keselamatan di jalan raya dan keselamatan harta benda.

Omar memakaikan topi keledar baharu terhadap penghantar makanan Foodpanda.

Omar memakaikan topi keledar baharu terhadap penghantar makanan.

Bagi tujuan tersebut, seramai 251 petugas terdiri daripada 31 pegawai dan 220 anggota dari Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik seluruh Kontinjen Sabah yang turut dibantu Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Pasukan Gerakan Marin (PGM).

Ditanya mengenai statistik kes kemalangan maut yang meningkat pada tahun lalu, Omar akur peningkatan operasi semata-mata tidak dapat membendung dan menurunkan kadar terbabit.

Ujarnya, masalah itu hanya dapat diatasi menerusi perubahan sikap pengguna jalan raya sendiri supaya lebih berhati-hati, bertimbang rasa, saling menghormati dan mematuhi had laju yang ditetapkan.

Omar dalam ucapannya, turut mengumumkan statistik perbandingan (trafik) OP Selamat 11/2017 dan OP Selamat 13/2018 yang menunjukkan peningkatan 3 peratus (23 kes) iaitu 788 kes berbanding 881 kes.

Bagi kes kemalangan maut pula, terdapat peningkatan sembilan orang bersamaan 82 peratus iaitu 11 kes pada OP Selamat 11/2017 berbanding 20 kes pada OP Selamat 13/2018.

ALBUM...Omar (tengah, depan) dan para pegawai kanannya bergambar bersama warga Kementerian Dalam Negeri.

ALBUM…Omar (tengah, depan) dan para pegawai kanannya bergambar bersama warga Kementerian Dalam Negeri.

Turut meningkat, jumlah saman yang dikeluarkan bagi kedua-dua tempoh dengan 3,973 saman (28.2 peratus) iaitu daripada 14,043 kepada 18,016 saman melibatkan kesalahan paling popular, memandu melebihi had laju (7,234), memandu di lorong kecemasan atau potong barisan (1,790), tidak menggunakan tali pinggang keselamatan (1,230) manakala 7,762 lagi adalah pelbagai kesalahan.

Antara yang hadir, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti SAC Datuk Ahmad Fadzillah Mohamed, Ketua Cawangan Khas SAC Datuk Suhaimi Deraman, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah SAC Jauteh Dikun dan Pengarah Urusan Suria Sabah, Humprey Tan.

Pada majlis tersebut, selain mengedarkan risalah keselamatan jalan raya kepada orang ramai di kompleks beli belah dan para pengguna jalan raya, Omar turut mengedarkan juadah berbuka puasa kepada para anggota bertugas di lapangan.

-EM

Tinggalkan komen anda