Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

Hubungan Kerajaan, Institusi Raja Kekal Baik – Muhyiddin

By 3 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA,Β 3 Mei (Malaysiaaktif) – Hanya disebabkan berlaku satu atau dua krisis dengan institusi raja, ia tidak menggambarkan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang mentadbir negara tidak mempunyai hubungan baik dengan istana, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata dakwaan PH tidak menghormati institusi raja oleh sesetengah pihak hanyalah tuduhan semata-mata.

“Apapun yang penting, kita hendak tunjukkan hubungan yang baik, situasi mesra kerana kita tahu pandangan masyarakat umum terhadap institusi diraja masih tinggi.

“Dan PH yang lahir, dipilih untuk mentadbir negara tidak harus berbeza pandangan dalam konteks itu, cuma tanggapan yang dilihat kerana (terjadi) satu dua perkara yang berlaku, maka gambarannya bahawa kita tidak bekerjasama ataupun kita tidak mengiktiraf peranan diraja. Ini adalah salah dan tidak betul, ” katanya.

Jelasnya, kerajaan menghormati dan mengiktiraf kedudukan raja berpelembagaan, peranan mereka dalam masyarakat, memahami tentang penghormatan rakyat kepada institusi diraja, maka tentu PH tidak boleh berbeza dari segi pendekatan dengan apa yang berlaku dalam masyarakat.

Beliau berkata demikian pada wawancara bersama media sempena ulang tahun pertama pentadbiran kerajaan PH di Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.

Antara pertikaian yang timbul di antara kerajaan dengan institusi raja adalah berhubung perlembagaan dengan istana dan perjanjian Statut Rom.

Menurut Muhyiddin, situasi hubungan yang mesra penting diwujudkan kerana kerajaan, raja-raja, legislatif dan eksekutif, semuanya mempunyai peranan dalam masyarakat.

Ujarnya lagi, percanggahan pendapat antara kerajaan dengan institusi raja tidak dinafikan pernah berlaku namun ia dapat ditangani secara berhemah.

Ditanya mengenai adakah campur tangan institusi raja akan menjejaskan urus tadbir kerajaan PH, beliau berkata seharusnya kedua-dua pihak mengetahui peranan masing-masing seperti termaktub dalam perlembagaan.

“Tanggungjawab dalam bidang masing-masing diperjelaskan dalam perlembagaan. Semolek mungkin, kalau kita patuh dalam apa yang termaktub dalam perlembagaan, baik kita rakyat biasa, pegawai kerajaan ataupun raja dalam sebuah negara demokrasi, maka itu tidak menjadi satu masalah, ” katanya.- BERNAMA

Tinggalkan komen anda