Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

Kerajaan Kaji Cadangan Beri Subsidi Kepada Graduan Melalui Majikan – Dr Mahathir

By 3 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 3 Mei (Malaysiaaktif) – Kerajaan sedang mengkaji cadangan pemberian subsidi tidak langsung kepada graduan dalam bentuk gaji dan elaun melalui majikan mereka bagi menggalakkan pengambilan pekerja tempatan, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata cadangan tersebut dibentangkan dalam mesyuarat khas Kabinet semalam yang membincangkan langkah mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing susulan keengganan rakyat tempatan bekerja dalam bidang tertentu.

“Kita ada cadangan tetapi belum buat keputusan. Kita akan kaji sama ada kita ada wang cukup atau tidak,” katanya pada sidang media selepas melancarkan platform e-dagang Commodities Global Trade Sdn Bhd, di sini hari ini.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan kerajaan akan mempertimbangkan pemberian subsidi berjumlah RM6 bilion dalam bentuk gaji dan elaun kepada graduan melalui majikan yang mengambil mereka bekerja yang dijangka membantu kira-kira 50,000 belia mendapatkan pekerjaan.

Dr Mahathir berkata cadangan itu bagi mengatasi masalah rakyat tempatan enggan bekerja yang antaranya berpunca daripada kadar upah yang rendah.

“Tetapi kalau upah terlalu tinggi, barangan kita akan menjadi terlalu mahal sehingga tak boleh bersaing dengan barangan negara lain.

“Oleh kerana itu, terdapat pihak buat cadangan kalau boleh kita buat subsidi tidak langsung, dengan cara itu gaji dan pendapatan akan meningkat dan pekerja kita akan bekerja dan tidak lagi bergantung kepada pekerja asing,” katanya.

Dr Mahathir berkata negara kerugian berbilion ringgit setiap tahun berikutan pekerja asing yang menghantar balik pendapatan mereka ke negara asal.

“Dalam mana negara pun, kalau duit mengalir keluar negara kita akan menjadi miskin, kalau mengalir ke dalam negara kita akan menjadi kaya,” katanya.

“Jadi kalau boleh, kita tak naklah duit kita mengalir keluar dan kalau kita dapat guna pekerja kita sendiri maka duit itu akan berada dalam negara,” kata Dr Mahathir.- BERNAMA

Tinggalkan komen anda