Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Juadah Bazar Ramadan; Perhati dan Pilih Sebelum Bayar

By 11 Mei 2019Tiada komen3 minit bacaan
Laporan/foto: Siti Noor Asmani Che Mat Saleh (Tumpat)

TUMPAT, 11 Mei (Malaysiaaktif) – Ramadan merupakan bulan rahmat kepada umat Islam khususnya dalam melaksanakan rukun Islam ketiga iaitu ibadah puasa, yang mana pada bulan ini juga terbukanya peluang berniaga kepada pengusaha dan penjual makanan khususnya di bazar Ramadan.

Kekangan masa pengguna dengan jadual rutin harian dan kesesakan jalan raya antara faktor yang mendorong populariti dan kerancakan perniagaan bazar Ramadan, khususnya di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Dalam aspek penyediaan makanan, faktor kebersihan dan kesihatan amat dipandang serius oleh Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan.

Pada tahun 2018, sebanyak 137 notis kompaun 32B dengan nilai RM16,650.00 telah dikeluarkan kepada peniaga yang gagal mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Sehubungan itu, tahun ini Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Tumpat dan Majlis Daerah Tumpat telah melancarkan kempen ‘Bazar Ramadan Kelantan Gerbang Makanan Sihat, Lazat, Selamat dan Berkat 2019’ pada 9 Mei lalu di Bazar Ramadan Pasar Besar Wakaf Bharu, Tumpat.

“Lazat bermaksud makanan itu perlu sedap pada rasa dan menyelerakan pada mata manakala selamat bermaksud makanan tersebut bebas daripada dicemari mikro organisma berbahaya, dan berkat pula ialah ingatan kepada pengusaha makanan untuk menyempurnakan penyediaan makanan yang akan dijual dengan suci dan halal, jujur dan amanah agar mendapat keberkatan dari Allah s.w.t.,” ujar Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan), Natrah Abu Bakar ketika merasmikan majlis semalam.

Timbalan Pengarah Kesihatan Kelantan, Natrah melawat ke gerai-gerai jualan makanan

Timbalan Pengarah Kesihatan Kelantan, Natrah melawat ke gerai-gerai jualan makanan

Beliau menasihati orang ramai agar sentiasa mengambil serius dan mengamalkan konsep ‘Perhati dan Pilih’ sebelum membeli makanan dan memastikan premis dan persekitaran yang bersih dengan bekas bertutup.

Manakala para peniaga pula dinasihatkan agar mengamalkan cara pengendalian makanan yang bersih dan menjaga kebersihan diri.

Di samping itu, pengguna juga perlu memanaskan semula makanan yang telah dibeli sebelum makan, terutamanya makanan yang telah disediakan melebihi tempoh 4 jam.

Simbolik kepada kempen, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan telah menyampaikan kit promosi berupa alat pengendali makanan seperti apron, pengepit makanan, tuala dan lain-lain kepada lapan orang pengerusi pasar daerah Tumpat.

Sejurus itu diadakan lawatan ke gerai makanan contoh yang terpilih di sekitar Bazar Ramadan Pasar Besar Wakaf Bharu.

Nor Aina Balkis Abdullah, 20, yang terpilih sebagai gerai contoh berkata setiap makanan yang dijual akan ditutup dengan sempurna agar tidak dihinggapi lalat dan habuk.

“Jika ada lauk pauk yang tidak habis dijual, saya sumbangkan kepada jiran tetangga dan tidak akan memanaskan kembali untuk jualan esok hari,” ujarnya.

Manakala Nur Aisyah Amran, 18, yang tinggal di Kampung Chabang Empat pula lebih gemar membeli juadah berbuka puasa di sini walaupun sudah ada bazar Ramadan berhampiran rumahnya kerana banyak pilihan yang boleh dibeli selain rasa yang sedap dan harga yang berpatutan.

“Adalah diharapkan dengan pelaksanaan pelbagai aktiviti kawal selia penyediaan dan penjualan makanan sebelum dan semasa bulan Ramadan, kejadian penyakit bawaan air dan makanan di daerah Tumpat dapat dielakkan,” kata Yang Di-Pertua Majlis Daerah Tumpat, Rosnazli Amin semasa ucapannya.

Di akhir temubual bersama Timbalan Pengarah Kesihatan Kelantan, Natrah Abu Bakar mengingatkan pengguna, sekiranya terdapat sebarang penjualan makanan yang tidak bersih, orang ramai boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau Jabatan Kesihatan Negeri melalui laman sesawang http://jknkelantan.moh.gov.my/v3/ atau facebook, https://www.facebook.com/HealthofKelantan.

-NAZ

Tinggalkan komen anda