Skip to main content
Berita TempatanHomeKelantan

Hijrah 17,000km Aktif Bantu Golongan Mualaf Bersama IIDAC

By 11 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan/Foto : Khairunnisa Binti Ismail (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 11 Mei (Malaysiaaktif)– Lelaki Ghana ini meninggalkan kampung halamannya sejauh lebih 17,000 kilometer demi menjalankan kerja-kerja sukarela dan dakwah di sini.

Beliau berhijrah ke Kota Bharu lebih 15 tahun yang lalu dan menubuhkan IIDAC atau Pusat Penerangan Islam dan Dakwah Antarabangsa, di Taman Hijau, di sini bagi membantu golongan fakir miskin dan mualaf.

Penubuhan IIDAC (International Islamic Information and Daawah Centre)mendapat bantuan kewangan daripada seorang ahli perniagaan Kuwait, Sheikh Abu Khalaf Al-Hadi, yang merupakan sahabat beliau.

Menurut Pengasas IIDAC, Muhammad Michael Abdullah, 67, berasal dari Ghana atau lebih dikenali Michael Boateng sebelum memeluk Islam, IIDAC ini ditubuhkan sejak 14 Mac 2002 dan mendapat kelulusan daripada Majlis Perbandaran Islam Kota Bharu dan Majlis Adat Istiadat Melayu Negeri Kelantan.

“IIDAC ini adalah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang bergantung sepenuhnya kepada derma, dana dan sokongan sukarela bagi semua aktiviti dakwah dan pengurusan,” katanya.

Tambah beliau, IIDAC ini menjalankan pelbagai aktiviti seperti street dakwah, kelas pengajian Agama Islam dalam bahasa Inggeris, latihan menjahit dan memasak untuk saudara baharu serta mengagihkan makanan percuma setiap hari Ahad dan Rabu kepada mualaf dan golongan asnaf.

Ustaz Azman Jaafar mengajar mengaji secara percuma kepada mereka yang ingin mendalami cara pembacaan Al-Quran dengan lebih sempurna

Ustaz Azman Jaafar mengajar mengaji secara percuma kepada mereka yang ingin mendalami cara pembacaan Al-Quran dengan lebih sempurna

“IIDAC telah berjaya membimbing ratusan bukan Islam untuk mendekati agama Islam dan mualaf dari pelbagai negara seperti Jepun, Myanmar, Filipina, Laos, Vietnam, Thailand, Australia dan beberapa negara lagi yang terdiri daripada kepelbagaian agama,” jelas Muhammad yang pernah mendapat Anugerah Pingat Bakti daripada ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V serta Anugerah Tokoh Saudara Baru pada tahun1434H.

Sementara itu, salah seorang tenaga pengajar sukarela IIDAC, Azman Jaafar, 59, berkata setiap hari pada waktu bekerja beliau akan mengajar Al-Quran di IIDAC kepada sesiapa sahaja yang berkeinginan.

“Kebanyakan yang mendalami Al-Quran di sini adalah kalangan mualaf, pesara serta masyarakat sekitar,” katanya yang merupakan seorang guru agama dan Pengerusi Madrasah Al-Quran, Al-Karim, Al-Sabariah di Jalan Gajah Mati.

Memandangkan IIDAC ini adalah sebuah NGO yang bergerak secara sukarela, sumbangan amat diperlukan dan boleh disalur melalui akaun Islamic Convert Welfare Society, bank Islam Malaysia Berhad, 03036010016971.

-NAZ

Tinggalkan komen anda