Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Perak Bakal Jadi Negeri Mesra Pelabur

By 16 Mei 2019Mei 17th, 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Sarah Nur Saad/Suzira Zainol Abidin (Kinta)

IPOH, 16 Mei (Malaysiaaktif) – Kerajaan Perak komited menjadikan negeri ini mesra pelabur serta berkeupayaan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dalam tempoh enam bulan selepas mengambil alih pentadbiran negeri iaitu antara Julai hingga Disember 2018, jumlah pelaburan yang diterima adalah RM1.5 bilion berbanding cuma RM702 juta bagi tempoh Januari hingga Jun 2018 oleh pentadbiran sebelum ini.

“Pelaburan negeri Perak pada suku pertama tahun 2019 ini dianggarkan melebihi RM1 bilion apabila kita bersatu hati menunaikan amanah dan menzahirkan impian membina sebuah negara atas prinsip kemakmuran bersama sejak 12 bulan lalu,” katanya ketika berucap sempena Majlis Perutusan Menteri Besar Perak Setahun Malaysia Baharu di Kediaman Lama Menteri Besar Perak, di sini semalam.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Perak, Ashraf Kahasani, berkata kerajaan negeri juga komited dalam usaha membuka peluang kepada anak muda yang dilihat perlu diberi perhatian khusus oleh kerajaan.

Menurut Ashraf, antara insiatif yang diberi adalah penekanan kepada peranan anak muda sebagai pembuat dasar.

“Baru-baru ni juga Kementerian Belia dan Sukan telah memperkenalkan program baharu iaitu penubuhan ‘Malaysia Future Leader School’ sebagai usaha melatih bakat kepimpinan anak muda yang bakal memimpin negara pada masa hadapan,” ujarnya ketika ditemui pemberita.

Timbalan Cawangan Tambun Parti Pribumi Bersatu Malaysia Zainah Akmar Za’aba, berkata kerajaan turut memartabatkan kaum wanita dengan memberi peluang perniagaan.

“Geran Awalan Wanita yang diperuntukkan kepada golongan ibu tunggal dan wanita sebagai modal awalan bagi menjalankan perniagaan adalah antara usaha murni kerajaan dalam membela nasib wanita,” jelasnya.

-SH

Tinggalkan komen anda