Skip to main content
Berita TempatanHomeSelangor

Perlembagaan Persekutuan, Syiar Islam Terus Dipertahankan – Amirudin

By 12 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

GOMBAK, 12 Mei (Malaysiaaktif) – Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menegaskan negeri tersebut akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan syiar Islam yang menjadi asas penting negara selama ini.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak akan mengadaikan prinsip tersebut hanya untuk meraih populariti atau bertujuan mengekalkan kuasanya.

“Kita di Selangor masih lagi istiqomah dan kekal mempertahankan perlembagaan, menjaga kedudukan istimewa yang ada dalam perlembagaan termasuk hak kedudukan orang melayu.

“Kita akan pertahankan syiar serta agama Islam yang sememangnya menjadi asas penting kepada perlembagaan negara yang tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.

“Cuma kadang-kadang wujud perbincangan tertentu yang mampu diredakan berdasarkan konsep keterbukaan kerajaan negeri dan pusat, ia mampu diselesaikan dengan berhemah,” katanya.

Amirudin (kiri) menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada penerima, semalam.

Amirudin (kiri) menyampaikan sumbangan Aidilfitri kepada penerima, semalam.

Mengulas lanjut, Amirudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata terdapat pihak yang sengaja menyerang pentadbiran negeri serta persekutuan menggunakan isu agama dan kaum untuk mengelirukan rakyat.

“Terdapat pihak yang sengaja menyerang pentadbiran Kerajaan Negeri dan Persekutuan dengan mempermainkan isu agama serta kaum yang pastinya begitu sensitif di sanubari rakyat.

“Dakwaan tersebut dilakukan pihak yang sudah kehabisan modal untuk menyerang pentadbiran negeri dan pusat yang menyebabkan kerajaan negeri sentiasa berhati-hati,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Berbuka Iftar Menteri Besar Selangor Bersama Agensi Kerajaan Daerah Gombak di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves di sini, semalam.

Amirudin turut menyampaikan sumbangan daripada pihaknya dan syarikat milik kerajaan negeri, Worldwide Holding Berhad (WHB) kepada anak-anak yatim dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sekitar DUN Sungai Tua.

Turut hadir, Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Wan Mahmud Pa’Wan Teh; Pegawai Daerah Gombak, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif WHB, Datin Paduka Norazlina Zakaria.

-NAZ

Tinggalkan komen anda