Skip to main content
Berita TempatanSelangor

650 Warga Taman Templer Manfaat Baucar Jom ‘Shopping’ Raya

By 12 Mei 2019Mei 17th, 2019Tiada komen2 minit bacaan
Laporan / Foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SELAYANG, 12 Mei (Malaysiaaktif) – Seramai 650 warga Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer menerima bantuan baucer Jom Shopping Hari Raya Aidilfitri, di sebuah pasaraya, di sini hari ini.

Program terbabit dilaksanakan menjelang perayaan utama umat Islam yang akan disambut bulan hadapan, merupakan kesinambungan program Jom Shopping yang dilaksanakan Kerajaan Negeri melalui Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Seorang penerima, Maini Yasa, 53, berkata walaupun nilai RM100 dilihat kecil oleh sesetengah pihak, namun bagi mereka yang berpendapatan sederhana atau kurang berkemampuan, pemberian ini membawa erti yang besar.

Katanya, dengan sumbangan tersebut beliau dapat membeli barangan keperluan untuk menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Seramai 650 penerima baucar Jom Shopping Raya sedang mendaftar di kaunter sebelum membelanjakannya di Pasaraya NSK Selayang.

Seramai 650 penerima baucar Jom Shopping Raya sedang mendaftar di kaunter sebelum membelanjakannya di Pasaraya NSK Selayang.

“Saya sangat gembira. Pemberian ini dapat melengkapkan keperluan perayaan dengan sumbangan yang diberikan oleh kerajaan negeri ini.

“Terima kasih kepada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Taman Templer dan Kerajaan Selangor yang melaksanakan inisiatif ini yang sangat membantu kami,” katanya yang tinggal di Taman Setia.

Seorang lagi penerima, Masran Dollah, 67, turut menyokong pemberian baucar Jom Shopping yang membantu umat Islam meringankan beban perbelanjaan ketika persiapan menyambut hari raya.

“Kami sekeluarga berharap sumbangan ini dapat diteruskan dari masa ke semasa dalam meringankan beban rakyat khasnya ketika persiapan raya,” katanya yang ditemani anaknya, Zul Asrin dan tinggal di Taman Prima Selayang.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Mohd Sany Hamzan berkata pemberian baucar Jom Shopping merupakan salah satu inisiatif kerajaan Selangor berkongsi kemakmuran bersama rakyat.

“Di DUN Taman Templer, ianya dilaksanakan pada minggu pertama Ramadan supaya penerima dapat membuat persiapan awal menyambut hari raya di samping keperluan puasa.

“Ianya merupakan peruntukan kerajaan Selangor yang berkongsi hasil negeri dengan memulangkan semula kepada rakyat khusus ketika menjalani ibadah puasa dan bersiap menyambut hari raya.

“Diharap sumbangan ini dapat membantu dan mengembirakan penerima serta ahli keluarga mereka pada tahun ini,” katanya yang merupakan Ketua Pemuda Amanah Nasional.

-NAZ

Tinggalkan komen anda