Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Piatu Lima Beradik Sayu Dihargai

By 29 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Anita Omar/Zurina Saad (Yan)

YAN, 29 Mei (Malaysiaaktif) – Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH) dengan kerjasama Pejabat Penerangan Daerah Yan, telah membawa anak-anak piatu lima beradik membeli baju raya di sebuah gedung membeli belah, di Alor Setar.

Kegembiraan jelas terpancar pada wajah Muhammad Alif Ikhmal, 17 tahun, Nur Aisya Maisarah (15), Nur Aleya Insyirah (10),
Muhammad Aidil Irfan (8), dan Muhammad Adib Izdihar (5) apabila dapat membeli baju yang diidamkan.

Perasaan sayu ternyata tidak dapat dibendung oleh lima beradik dari Kampung Kabu 10, Sungai Limau ini, apabila kehilangan ibu tersayang pada Disember tahun lalu.

Lebih menyedihkan lagi bapa yang diharapkan sebagai tonggak keluarga terlibat dalam satu kemalangan dan mengalami lumpuh serta sesekali hilang daya ingatan.

Muhammad Alif memilih baju baharu untuk digayakan pada raya kali ini.

Alif memilih baju baharu untuk digayakan pada raya kali ini.

Kini tanggungjawab menyara keluarga terpikul di bahu anak sulung keluarga ini, Muhammad Alif yang masih bersekolah di mana beliau terpaksa bekerja mengambil upah menyembur racun dan membaja sawah demi menyara keluarga.

Menurut Nur Aisya, inilah sahaja baju yang ada untuk dipakai pada hari raya ini, apa yang lebih penting ialah makan dan minum mereka sekeluarga berbanding dengan persiapan raya.

“Segalanya bagai tidak sama seperti ibu masih ada,” ujarnya yang kini terpaksa menggalas tugas ibunya sejak setahun lalu.

Ramli Saad, 47, meluahkan rasa terharu dan terima kasih kerana masih ada pihak yang prihatin akan nasib dirinya dan sudi menghulurkan sumbangan baju raya kepada mereka sekeluarga.

-SH

Tinggalkan komen anda