Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala Lumpur

Foodbank Bantu Kumpulan B40 Mahasiwa

By 29 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto : Norizah Jadid/Amirah Ahmad (Setiawangsa)

KUALA LUMPUR, 29 Mei (Malaysiaktif) – Program FoodBank yang diperkenalkan kerajaan banyak membantu dan memberi faedah kepada pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang kurang berkemampuan terutama pelajar dari kumpulan B40.

Menurut Pengarah Hal Ehwal Pelajar UTM Kampus Kuala Lumpur Ir. Dr. Pauziah Muhamad, seramai 382 pelajar daripada 2000 orang pelajar UTM kampus di sini telah dikenal pasti dan layak menerima bantuan makanan secara percuma ini.

“Di UTM konsep pelaksanaan program ini adalah daripada pelajar kepada pelajar di mana pantri bank makanan ini dikendalikan sendiri oleh pelajar yang dipilih dan dilatih bagi mengendalikan urusan stok, inventori serta agihan barangan,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Pauziah menjelaskan bank makanan ini menyediakan makanan ringan dan barangan keperluan seperti minuman oat, mee segera, biskut, kurma, air mineral, minuman segera 3 dalam 1, berus gigi, susu pekat manis dan lain-lain barang keperluan mahasiswa.

Antara barangan yang disediakan di FoodBank ini.

Antara barangan yang disediakan di FoodBank ini.

“Pelajar dibenarkan mengambil lima jenis barangan pada setiap kali pengambilan setiap dua kali seminggu.

“Barang-barang di bank makanan ini berkualiti di mana tarikh luput setiap barangan adalah dalam jangka masa panjang dan dibekalkan daripada pasar raya di sekitar ini,” tambahnya.

Pauziah turut berharap pada masa akan datang, program bank makanan ini dapat diperluaskan meliputi makanan harian bagi membantu para pelajar B40 ini.

Jeevan Rao, Pelajar Kejuruteraan Elektonik yang juga merupakan salah seorang Ahli Jawatan Kuasa (AJK) FoodBank UTM memaklumkan barang-barang keperluan yang dibekalkan ini dapat membantu mahasiswa dari kumpulan B40 mengurangkan kos perbelanjaan harian.

Jeeva (kanan) akan memastikan stok makanan berada dalam keadaan baik untuk diambil oleh pelajar yang memerlukan.

Jeeva (kanan) akan memastikan stok makanan berada dalam keadaan baik untuk diambil oleh pelajar yang memerlukan.

Beliau yang bertanggungjawab di pantri akan memastikan barang-barang yang dibekalkan adalah berkualiti dan selamat digunakan.

“Saya berharap bank makanan ini akan berterusan kerana ia merupakan satu inisiatif yang baik pihak dalam membantu mahasiwa universiti dari kumpulan B40,” katanya.

Kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah memperuntukkan RM3 juta bagi menyediakan 14 unit lori lengkap pendingin untuk kegunaan program Foodbank Malaysia di mana makanan percuma diedarkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) termasuk di 20 buah universiti awam.

-SH

Tinggalkan komen anda