Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanMelaka

Catuan Air di Melaka Mulai Jun

By 29 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Khairul Annuar bin Zulkernain

 

ALOR GAJAH, 29 Mei (Malaysiaaktif) – Warga Melaka bakal menghadapi catuan air yang dijangka akan bermula pada pertengahan Jun.

Perkara ini telah dicadangkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Datuk Ir Mohd Khalid Nasir kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui satu surat bertarikh 27 Mei 2019.

Perkara ini disebabkan oleh kesemua empangan di negeri ini telah mengalami penyusutan terutama Empangan Durian Tunggal yang telah melepasi tahap kritikal.

Perkara ini juga telah dibangkitkan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari sebelum ini dengan menyarankan rakyat negeri ini perlu bersedia untuk menghadapi musim kemarau dan catuan air yang akan melibatkan hampir kesemua tempat di negeri ini.

“Kerajaan negeri memohon kepada rakyat Melaka untuk menggunakan air dengan berjimat cermat dan jika masih tiada hujan di kawasan empangan sehingga 15 Jun, catuan air akan dimulakan dengan pengurangan tekanan pam air diikuti dengan langkah-langkah lain,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama pemimpin masyarakat Parlimen Alor Gajah baru-baru ini.

Adly juga memaklumkan beberapa langkah telah diambil untuk memastikan masalah ini dapat ditangani antaranya mengepam air daripada Empangan Jus untuk menampung kekurangan bekalan di Empangan Durian Tunggal.

Selain itu kerajaan negeri juga telah membuat permohonan tambahan bekalan kepada kerajaan Johor untuk kebenaran mengepam sumber air dari Sungai Muar ke Empangan Durian Tunggal. Kerajaan negeri juga sedang merangka kerja untuk mendapatkan bekalan air dari Tasik Biru, Jasin untuk dibekalkan ke Empangan Durian Tunggal.

Pentadbiran negeri sedang berusaha untuk mendapatkan kebenaran pihak-pihak yang terlibat dan proses ini dijangka akan mengambil masa dalam setahun. Usaha ini penting supaya Melaka tidak lagi berhadapan masalah ini pada masa hadapan, tambah Adly.

-KN

Tinggalkan komen anda