Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomePutrajaya

SKMM Kerjasama Dengan Polis Tangani Buli Siber – Gobind Singh

By 17 Mei 2019Tiada komen1 minit bacaan

KUALA LUMPUR, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi melihat sama ada undang-undang sedia ada sudah mencukupi untuk menangani masalah buli siber.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo, berkata pihaknya kemudian akan mengambil langkah meminda undang-undang sedia ada sekiranya perlu bagi tujuan tersebut.

“Kita ada undang-undang dalam Kanun Keseksaan, soalnya adakah undang-undang itu mencukupi dan adakah ia berkesan.

“Jadi ini adalah semua perkara yang kita akan ambil kira, tetapi biarlah perbincangan pihak MCMC dengan polis diteruskan dahulu, apabila ada satu rangka (undang-undang) saya akan memberitahu media,” katanya kepada pemberita selepas mengagihkan bubur lambuk kepada warga Telekom Malaysia Berhad (TM), di sini semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai kes seorang remaja berusia 16 tahun dipercayai membunuh diri selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan rumah kedai di Padawan, Sarawak, kelmarin.

Remaja wanita itu didakwa membuat undian di akaun Instagram dengan memaparkan status: “Sangat penting, bantu saya pilih.” dengan menyediakan dua pilihan iaitu D (Death) atau L (Life), masing-masing bermaksud “Mati atau Hidup”.  –BERNAMA

Tinggalkan komen anda