Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahHomeKuala Lumpur

Gobind Puas Hati Usaha TM Tangani Aduan Pelanggan

By 17 Mei 2019Tiada komen2 minit bacaan
 Laporan/foto: Elyas Hisham/Inthran Krishnan (Lembah Pantai)

LEMBAH PANTAI, 17 Mei (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Gobind Singh Deo memuji usaha syarikat Telekom Malaysia (TM) dalam mengendalikan aduan pelanggan ketika melawat Pusat Panggilan Pelanggan syarikat itu semalam.

“Kita kena pastikan perkhidmatan yang diberikan bermutu tinggi dan apabila ada aduan, kita kena terima aduan itu dan selesaikan secepat boleh, jadi bila ada pasukan sebegini, saya rasa masalah ini dapat diatasi,” katanya yang meluangkan masa berkongsi kemeriahan Ramadan seterusnya mengedarkan bubur lambuk kepada warga TM di Menara Telekom, di sini.

Dalam pada itu, para pegawai khidmat pelanggan TM termasuk ejen-ejen khidmat pelanggan digitalnya turut teruja menerima kunjungan Gobind ke Pusat Panggilan Pelanggan TM bagi menyampaikan juadah buka puasa istimewa kepada mereka, malah memuji usaha mereka dalam mengendalikan aduan pelanggan di samping memberi perkhidmatan bermutu tinggi.

Anjuran program ini juga diselaraskan dengan kempen terbaru TM, #LebihUntukMu yang menjanjikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggannya dan juga warga TM sendiri.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif TM Imri Mokhtar, Program Agihan Bubur Lambuk bersama Menteri KKMM ini dianjurkan bagi meraikan kegembiraan Ramadan bersama semua warga TM di samping merapatkan hubungan silaturahim sesama pekerja.

“TM amat berbesar hati dan gembira menerima kunjungan Menteri KKMM bersama-sama kami pada petang ini,” ujarnya.

Menurut Imri, edaran bubur lambuk ini akan diteruskan setiap hari Selasa dan Khamis sepanjang bulan Ramadan kepada warga TM.

-SH

Tinggalkan komen anda