Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

SPRM Bakal Guna Undang-Undang Baharu Dakwa Syarikat Terlibat Rasuah

By 30 Mei 2019Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Ihsan Bernama

PUTRAJAYA, 30 Mei (Malaysiaaktif) – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bakal melaksanakan undang-undang baharu iaitu Seksyen 17A Akta SPRM 2009, yang akan berkuatkuasa pada Jun 2020.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki berkata peruntukan undang-undang yang membolehkan syarikat terlibat rasuah didakwa itu, adalah untuk melaksanakan obligasi dan memenuhi tanggungjawab antarabangsa di bawah Artikel 26 ‘United Nation Convention Against Corruption (UNCAC)’ yang merujuk kepada ‘Liability Of Legal Person’.

Beliau berkata sebelum peruntukan itu wujud, Akta SPRM 2009 hanya tertumpu kepada pendakwaan atas ‘natural person’ iaitu individu yang terlibat dengan rasuah sahaja.

“Oleh yang demikian, Seksyen 17A digubal bagi membolehkan syarikat yang menjalankan kegiatan rasuah, dikenakan tindakan sewajarnya berlandaskan undang-undang.

“Seksyen 17A telah diluluskan di Parlimen pada 5 April 2018, yang memperuntukkan kesalahan rasuah oleh organisasi komersil,” katanya kepada Bernama.

Azam berkata melalui seksyen berkenaan, organisasi komersil boleh didakwa sekiranya orang yang bersekutu dengan organisasi komersil itu terlibat dengan jenayah rasuah dengan tujuan untuk membolehkan organisasi komersil itu memperoleh atau mengekalkan kontrak atau kepentingan.

“Dalam masa sama, peruntukan itu menghendaki, sebagai tindakan pencegahan organisasi komersil untuk mewujudkan polisi dan usaha pencegahan rasuah dalam organisasi mereka dalam bentuk tatacara yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata dalam menggubal peruntukan itu, SPRM telah merujuk kepada pelbagai sumber perundangan sama ada domestik atau luar negara. — BERNAMA

Tinggalkan komen anda