Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

ADUN Sentosa Berazam Kurangkan Kes Denggi, Tingkatkan Kebersihan

By 24 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan / Foto: A.Prabagaran (Klang)

KLANG, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, Gunaraj George berazam untuk mengurangkan kes denggi serta meningkatkan tahap kebersihan dalam kawasan yang diwakilinya.

Menurutnya, sejak setahun lalu kawasan DUN Sentosa mencatatkan jumlah kes denggi kedua tertinggi dalam negeri Selangor disebabkan tahap kebersihan kawasan sekitar dan kesedaran orang ramai yang rendah.

“Masalah utama di DUN Sentosa adalah kes denggi yang tinggi. Sejak setahun lalu kita dapat ‘anugerah’ kes denggi yang tinggi.

“Semua pihak perlu mainkan peranan mereka untuk menjaga kebersihan bagi mengurangkan jumlah kes denggi,” katanya.

Jelas Gunaraj, bagi mengurangkan kes denggi dan meningkatkan tahap kebersihan, pihaknya mengambil inisiatif dengan melancarkan progrm ‘Clean and Green’ di DUN Sentosa.

“Program tersebut dilancarkan sejak 28 April lalu dengan pelbagai pengisian program khasnya program menjaga kebersihan persekitaran rumah masing-masing.

“Ianya melibatkan pelbagai pihak seperti persatuan penduduk, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta.

“Antara program seperti membersihkan kawasan persekitaran dan menghijaukan kawasan dengan menanam pokok, sehingga kini lebih 100 pokok telah ditanam di samping program kesedaran di peringkat sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Kempen Clean and Green peringkat DUN Sentosa di pejabatnya di Taman Sri Mewah, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Gunaraj berkata, sejak dua bulan program tersebut dilaksanakan, pihaknya mendapat impak positif apabila kadar kes denggi mula menurun.

“Kini kes denggi mula menurun di kawasan Sentosa daripada kedudukan kedua kepada keempat. Kita mahu capai sehingga ianya dikeluarkan daripada senarai tersebut.

“Program ‘Clean and Green’ perlu penglibatan semua pihak, sekiranya semua beri kerjasama ianya dapat dilaksanakan,” katanya.

-NAZ

Tinggalkan komen anda