Skip to main content
Berita SarawakBerita Tempatan

“Sumpahan Jerunei” Angkat Sejarah Silam Adat Budaya Melanau 

By 24 Jun 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)

KUCHING, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Filem bertajuk “Sumpahan Jerunei” bakal diterbitkan oleh Produksi Seni 2020 pada tahun hadapan. Uji bakat kepada calon terbabit telah dilakukan pada 22 Jun bertempat di Mukah dan di Wisma Melanau Kuching. Filem tersebut dijangka membuat penggambaraan di Mukah, Dalat dan Bandaraya Kuching pada  pertengahan dan akhir tahun ini.

Filem ini akan memaparkan tentang sejarah silam kaum Melanau yang penuh misteri terutama berkaitan dengan adat pengebumian golongan bangsawan Melanau dengan jerunei. Pada masa ini tinggalan sejarah jerunei ini masih kelihatan di Kampung Tellian Tengah Mukah.

Jerunei atau tugu diperbuat daripada kayu belian yang besar dan matang kelihatan masih bertahan gagah walaupun uisanya sudah menjangkau lebih dari 200 tahun. Tugu lebih kurang dua pemeluk ini akan dikorek dua atau tiga lubang di bahagian bawah bagi menempatkan mayat atau rangka tulang golongan bangsawan yang mati serta barangan bernilai sebagai bekalan atau ‘piyou’ di alam lain.

Manakala lubang di bahagian atas pula dikhaskan untuk  hamba abdi atau orang yang dipilih khas oleh si mati sewaktu hidupnya. Hamba abdi ini akan hidup bersama rangka simati sehingga dia meninggal dunia di atas tiang ini juga.

Di bahagian luar tiang jerunei biasanya diukir dengan motif binatang seperti naga, harimau, ular, anjing, kucing, tikus dan sebagainya tertakluk kepada kedudukan  serta kehendak pemiliknya. Proses membuat jerunei mengambil masa lama serta  menuntut kesabaran dan kesetiaan kepada mereka yang mempunyai darjat dan berpangkat tinggi dalam masyarakat ketika itu.

Gdin Sharif, pengurus produksi bergambar bersama peserta ujibakat bagi jabatan teknikal, produksi, kesan dan seni

Gdin Sharif, pengurus produksi bergambar bersama peserta ujibakat bagi jabatan teknikal, produksi, kesan dan seni

Jerunei menjadi kebanggaan golongan bangsawan sebagai manifestasi tentang darjat, pengaruh, kuasa dan kekayaan sewaktu hidup. Masyarakat Melanau dari kalangan orang kebanyakan turut berbangga kerana ia merupakan lambang ketamadunan kaum bagi mereka pada waktu itu.

Filem ini memerlukan ramai pelakon dan lebih kurang 10 orang krew akan dipilih bagi  membantu kerja teknikal, produksi, kesan bunyi, jurusolek, seni dan sebagainya. Menurut Gdin Sharif, pengurus produksi, filem ini memerlukan pelakon dan krew yang agak ramai bagi memastikan proses kerja penggambaran dapat disiapkan seperti dirancang.

Menurut Datuk Nancy Foo, selaku ketua Penerbit Produksi Seni 2020, tujuan utama pembikinan filem ini adalah untuk menonjolkan budaya kaum Melanau berdasarkan kepada penceritaan kisah tugu atau jerunei dan juga kasih sayang terhadap seseorang terutama dalam kalangan golongan bangsawan ketika itu.

“Jalan cerita atau plot berdasarkan kepada kisah mengapa jerunei dibina, apa tujuan pembinaannya dan siapakah mereka yang ada kaitan dengan  pembinaan tugu tersebut?”

“Filem ini juga bertujuan untuk mempromosi adat budaya, lokasi jerunei serta kehidupan kaum Melanau dahulu,’ tambah beliau lagi.

Donna Lynn, gadis Bidayuh berusia 31 yang turut menyertai ujibakat di Wisma Melanau menyatakan rasa teruja dan gementar ketika sesi tersebut diadakan. Manakala Angeline, 26 tahun juga gadis Bidayuh mengharap beliau dipilih sebagai watak orang kampung bagi filem tersebut.

Siti Sabariah dan Hippolinus pula berharap mereka dipilih untuk membawa watak tertentu dalam filem tersebut nanti.  “Saya berharap dipilih kerana lokasi penggambaran filem ini nanti dibuat di kampung saya di Mukah,’ kata Hippolinus Keni Mun

Filem ini separuhnya adalah berbentuk fiksyen dan separuh lagi berkaitan dengan kisah realiti silam bagaimana bangsawan kaum Melanau diangkat, disanjung serta dijaga dengan  baik semasa hidup dan selepas kematiannya.

Tinggalkan komen anda