Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraHomePerlis

Belia Perlu Lebih Berdaya Saing

By 27 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Anuar Che Amat (Perlis)

KANGAR, 27 Jun (Malaysiaktif) – Golongan belia mencerminkan harapan dan masa depan negara. Maju atau mundurnya sesebuah negara itu bergantung kepada keupayaan, kesanggupan, kebolehan dan ketekunan para belianya dalam mencapai pembangunan negara.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, bertitah adalah menjadi tanggungjawab belia untuk meningkatkan lagi usaha dan pencapaian mereka di dalam bidang masing-masing termasuklah dalam bidang seperti pendidikan, sukan, pertanian, pengeluaran produk, perniagaan dalam talian dan sebagainya.

“Golongan belia mencerminkan harapan dan masa depan Negara, maju atau mundurnya sesebuah negara itu bergantung kepada keupayaan, kesanggupan, kebolehan dan ketekunan para belianya dalam mencapai pembangunan negara.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merasmikan Kem Belia Berwawasan dan Pelancaran Hari Belia Negara dan Youth Bussines Expo 2019 Peringkat Negeri Perlis.

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merasmikan Kem Belia Berwawasan dan Pelancaran Hari Belia Negara dan Youth Bussines Expo 2019 Peringkat Negeri Perlis.

“Para belia juga perlu menghasilkan pendekatan-pendekatan baharu yang berupaya memberikan penyelesaian terbaik terhadap isu, cabaran atau masalah yang dihadapi ketika ini,” titah baginda ketika menyempurnakan perasmian Kem Belia Berwawasan dan Pelancaran Hari Belia Negara dan Youth Bussines Expo 2019 Peringkat Negeri Perlis, di sini hari ini.

Keberangkatan baginda diiringi Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong, Exco Belia dan Sukan Hamizan Hassan, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Azman Yusof.

Baginda turut menyarankan keterlibatan belia dengan lebih aktif dalam menjamin negara yang lebih produktif pada masa hadapan.

Raja Muda Perlis diiringi Timbalan Menteri Belia dan Sukan bersama-sama lebih 50 orang peserta menyertai Program Kayuhan Belia Berwawasan Menyantuni Asnaf.

Raja Muda Perlis diiringi Timbalan Menteri Belia dan Sukan bersama-sama lebih 50 orang peserta menyertai Program Kayuhan Belia Berwawasan Menyantuni Asnaf.

“Keterlibatan para belia sebagai pemangkin perubahan dalam proses transformasi negara amatlah penting, perubahan dan penghijrahan ini adalah satu kemestian dalam usaha menuju sebuah negara yang maju, berdaya saing dan dinamik.

“Ia memerlukan asas-asas dan pendekatan yang sesuai bagi mencapai cita-cita tersebut. Peranan belia hari ini bukan hanya sekadar untuk berjaya dalam kerjaya dan mencari kemewahan diri semata-mata, tetapi juga berusaha dalam membangunkan negeri dan negara ke arah kemajuan dan kegemilangan dalam acuan kita sendiri,” titah baginda lagi.

Terdahulu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim Chee Keong, menjelaskan program ini bertujuan menerapkan nilai-nilai murni serta falsafah jati diri di samping mengeratkan perpaduan dari penyertaan pelbagai kaum.

“Semua objektif ini dizahirkan melalui aktiviti yang telah dirancang antaranya pengisian menyantuni asnaf dan melakukan kerja-kerja khidmat masyarakat dan saya berharap penganjuran seperti ini mampu memupuk semangat kerjasama serta setia kawan dalam suasana yang muhibbah di kalangan rakyat di negeri ini,” ujarnya.

-SH

Tinggalkan komen anda