Skip to main content
Berita TempatanHomePutrajaya

Hanya Dua Kes Peniaga Naikkan Harga Barang – Saifuddin

By 2 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

PUTRAJAYA, 2 Jun (Malaysiaaktif) – Hanya dua kes melibatkan peniaga bertindak menaikkan harga barangan kawalan melebihi harga yang ditetapkan, dicatat sepanjang 10 hari tempoh Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sejak ia dilancarkan 21 Mei lepas.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata dalam tempoh itu juga, sebanyak 110 kes membabitkan kesalahan peniaga tidak mempamerkan tanda harga direkodkan sepanjang pemeriksaan ke atas 28,242 premis perniagaan di seluruh negara.

“Hanya dua kes peniaga menaikkan harga barang, maka kita melihat skim kawalan harga musim perayaan ini berjaya dan sangat berkesan. Ia menyaksikan peniaga-peniaga kita mematuhi syarat yang ditetapkan kementerian.

“Malah, sepanjang pemantauan penguat kuasa kita khususnya di pasar raya juga, sehingga semalam, kebanyakan 27 barang kawalan dalam SHMMP dijual dibawah harga ditetapkan,” katanya semasa berucap pada Majlis Iftar bersama Pengamal Media Zon Utara di sini semalam.

Saifudin Nasution berkata berdasarkan tinjauan dan pemeriksaan, terdapat peniaga yang menjual harga jauh lebih murah berbanding harga yang ditetapkan kementerian umpamanya ayam yang dijual pada harga RM3.99 sekilogram iaitu di Junjung Kota Bahru Kelantan.

Sementara itu Saifuddin Nasution berkata sebuah syarikat tempatan yang merupakan satu-satunya pengimport sejenis barangan utama pengguna di negara ini dikenal pasti mengaut keuntungan sebanyak 133 peratus.

Beliau berkata margin keuntungan tersebut dikenal pasti oleh pihaknya menerusi harga jualan barangan terbabit kepada pemborong.

Bagaimanapun beliau berkata pada masa ini nama syarikat dan jenis barangan itu masih belum boleh didedahkan kepada umum kerana notis beri alasan yang dikemukakan kepada mereka belum dapat diserahkan kepada pihak pengurusannya.

“Kita tahu siapa pengimport terbabit dan kementerian sudah berusaha mengeluarkan notis kepada mereka supaya mengemukakan alasan kenapa mengaut margin keuntungan secara berlebihan. Kita sudah berusaha menghantar notis berkenaan sebelum ini, tetapi gagal kerana syarikat terbabit tidak beroperasi pada hari terbabit. Bagaimanapun, kita hantar semula (notis) kepada mereka hari ini,” katanya.

Saifuddin Nasution berkata menjadi perkara biasa jika sesebuah syarikat mahu memastikan perniagaannya mendapatkan keuntungan namun mengaut keuntungan yang berlebihan adalah satu tindakan yang tidak bersesuaian. — BERNAMA

Tinggalkan komen anda