Skip to main content
Berita SarawakBerita TempatanHome

Hari Gawai Warisan Berzaman Masyarakat Dayak

By 2 Jun 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Robin Junang (Sarawak)

BALINGIAN, 2 Jun (Malaysiaaktif) – Hari Gawai disambut pada 1 Jun setiap tahun oleh masyarakat Dayak terutama dalam kalangan kaum Iban dan Bidayuh. Sambutan ini diadakan sebagai satu perayaan adat selepas musim menuai padi berakhir.

Secara umumnya, permulaan sambutan Hari Gawai Dayak disambut pada malam 31 Mei di mana penduduk rumah panjang berkumpul beramai-ramai mengadakan jamuan malam di setiap ruai (ruang terbukan rumah panjang) masing-masing. Selepas jamuan, penghuni akan berkumpul semula di ruai bilik ’tuai gawai’ yang telah dilantik sebagai ketua secara bergilir setiap tahun.

Di ruai tuai gawai didirikan ‘ranyai’ sama ada dari pokok pisang atau kayu untuk menggantung serta meletakkan barangan makanan dan minuman termasuk ‘ai pengayu’, iaitu persembahan dari setiap bilik rumah panjang untuk dijamu secara bersama.

Sementara menunggu acara ‘ngirup ai pengayu’ iaitu air tuak yang dibuat daripada beras dan ragi  (minuman panjang umur) beberapa aktiviti seperti sukaneka, jamuan ringan dan randau diadakan.  Ai pengayu ini wajib diminum oleh penduduk rumah panjang kerana ia dianggap air yang membawa tuah serta panjang usia.

Sebelum ai pengayu diminum biasanya upacara miring dengan bacaan mantera dilakukan oleh ketua adat. Pada masa sekarang, terdapat juga rumah panjang telah menggantikan upacara miring dengan berdoa mengikut cara agama khususnya Kristian.

Sebelum upacara miring, kumpulan ‘ngalu petara’ akan berarak di ruai rumah panjang menggunakan kostum tradisional Iban. ‘Ngalu petara’ bermaksud menyambut Tuhan Kumpulan ini dianggotai oleh orang dewasa dan kanak-kanak, lelaki serta perempuan.

Setelah berarak meniti ruai rumah panjang mereka akan duduk menghadap kumpulan ‘petara’ (Tuhan). Wakil dari petara bertanya kepada ketua kumpulan yang berarak, “tujuan mereka datang membawa lelaki, perempuan serta kanak-kanak ke tempat petara”

Menurut Harry Antau, “kumpulan berarak ini membawa persembahan berupa barangan atau benda yang boleh membawa tuah, perubatan dan rezeki kepada rumah panjang. Sebab itu mereka berarak sebelum singgah di hadapan para petara”.

‘Ranyai’ yang didirikan secara gotong - royong di ruai  tuai gawai yang dilantik secara bergilir setiap tahun

‘Ranyai’ yang didirikan secara gotong – royong di ruai tuai gawai yang dilantik secara bergilir setiap tahun

Mereka akan bercakap secara kiasan menggunakan bahasa Iban klasik atau bahasa seperti seloka. Antara jawapan ialah mereka datang membawa sesuatu seperti ‘ubat’ yang boleh memberi kesejahteraan dan kekayaan yang melimpah ruah kepada rumah panjang tersebut. Mereka juga membawa pendamaian serta keamanan kepada penduduk rumah panjang.

Selepas bersoal jawab dengan beberapa petara mereka berdiri mengelilingi ranyai serta disaji dengan ai pengayu. Tepat jam 12 malam mereka minum ai pengayu sambil bersorak beramai-ramai tanda sambutan Hari Gawai dan kemenangan.

Selepas tamat minum ai pengayu, beberapa acara disambung semula seperti pertandingan ngajat, ‘bertaboh’, ‘bersampi’, minum air tuak dan sebagainya. Terdapat juga yang bertahan sehingga ke pagi sambil berbual-bual.

cara menyatakan kegembiraan dan kesyukuran di ‘tiang pengingat’ pada 1 Jun

cara menyatakan kegembiraan dan kesyukuran di ‘tiang pengingat’ pada 1 Jun

Pada keesokkan harinya (1 Jun), sebelah awal pagi penduduk akan berkumpul di kawasan lapang di depan rumah untuk menyampaikan persembahan seperti makanan dengan meletakkannya di atas tiang pengingat (tugu peringatan).

Mereka akan mengelilingi tiang pengingat sambil berpegang tangan serta bersorak-sorai untuk menyatakan kegembiraan dan kesyukuran kepada petara.

Menurut Tuai Rumah Rantai Seman, “tiang pengingat” sebagai lambang kepada kekuatan dari segi ikatan perpaduan, perhubungan sesama mereka serta kekukuhan rumah panjang dari segi fizikalnya”.

“Tiang pengingat dulunya dibuat dibuat daripada kayu yang tahan lama seperti kayu tebelian tetapi kini diperbuat daripada konkrit kerana kekuatan fizikalnya hampir sama”, ujar beliau lagi

Selepas matahari menyingsing petang, acara memotong dan menumbang ranyai diadakan. Ketua perarakan ngalu petara sambil ngajat memotong satu persatu bahan yang digantung termasuk ranting-ranting kayu dan akhir sekali menebang ranyai berkenaan.

Maka upacara pembukaan adat gawai yang bermula dari malam 31 Mei sehingga petang 1 Jun berakhir namun acara adat Gawai Dayak diteruskan sehingga ke acara ‘Ngiling Bidai’. Tempoh acara sambutan Hari Gawai sehingga ke Ngiling Bidai ini biasanya dalam masa seminggu ke dua minggu.

Tinggalkan komen anda