Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Rakyat Kelantan Bakal Berhadapan Kesesakan Talian Komunikasi

By 3 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Azhar HJ Ismail (Kelantan)

KOTA BHARU, 3 JUN (MalaysiaAktif) – Limpahan kenderaan di sekitar Bandar Kota Bharu menjelang Aidilfitri telah bermula dari semalam di mana laporan media sosial minggu lepas mendakwa hampir 1 juta kenderaan bakal memasuki Kelantan menjelang sambutan lebaran Aidilfitri tahun ini.

Tinjauan MalaysiaAktif di sekitar Bandar Kota Bharu mendapati kesesakan lalu lintas yang ketara khususnya di jalur-jalur utama menghala pusat bandar serta premis perniagaan seperti Pasar Siti Khadijah, KB Mall, TESCO dan AEON Mall di Lembah Sireh serta jalur yang menghala ke Zon Bebas Cukai Rantau Panjang dan Pengkalan Kubur Tumpat.

Kesesakan kenderaan dan manusia ini juga bakal menyesakkan talian komunikasi bagi pengguna setempat. Peningkatan kapasiti pengguna yang drastik sekurang-kurangnya pertambahan 1 juta, berpotensi menjejaskan mutu talian komunikasi digital semasa.

Berdasarkan situasi tahun-tahun sebelum ini, kesesakan talian komunikasi dan perkhidmatan Internet mobile berlaku 3 hari sebelum Aidilfitri, dan gangguan ini lazimnya berlarutan hingga beberapa hari selepas hari raya, bergantung kepada kawasan serta kapasiti pengguna di sesebuah kawasan.

Menurut Nik Muhd Ilyas Nik Ismail, 18, lepasan SPM yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang landskap pertengahan Jun ini berkata kesesakan ini berlaku mungkin disebabkan lebihan pengguna yang berlipat ganda dalam tempoh semasa.

“Tambahan pula di musim perayaan ini, aplikasi whatsapp, instagram dan facebook menjadi pilihan utama komunikasi anak muda menyampaikan ucapan hari raya serta mengongsi maklumat,” ujar Nik Muhd Ilyas lagi.

Manakala Daniel Rais Azhar, 20, yang mengisi masa lapang dengan permainan atas talian atau ‘mobile on-line game’ menyatakan beliau bimbang penyertaannya dalam ‘Asian Tournament’ semasa musim Aidilfitri akan terjejas berikutan gangguan Internet yang bakal berlaku ini.

Kesesakan jalur utama ke Bandar Kota Bharu

Kesesakan jalur utama ke Bandar Kota Bharu

“Saya menyertai ‘on-line game tournament’ peringkat Asia bersama rakan-rakan maya dari Republik Indonesia. Kami telah menjuarai peringkat Asia Tenggara dua minggu lepas,” tambah beliau lagi.

Sementara itu usahawan muda ‘on-line’ Suzana Fisol, 25, graduan Universiti Malaysia Kelantan berkata kesesakan talian akan menjejaskan komunikasi dan transaksi dagang khususnya menjelang Aidilfitri.

Pusat beli belah KB Mall dipenuhi golongan muda tempatan dan dari luar Kelantan

Pusat beli belah KB Mall dipenuhi golongan muda tempatan dan dari luar Kelantan

“Semua pesanan dan transaksi menggunakan aplikasi ‘whatsapp’. Gangguan dan kesesakan boleh menyebabkan pesanan lewat diterima dan penghantaran gagal disampaikan dalam tempoh sepatutnya,” ujar usahawan produk kecantikan ini.

Lebih membimbangkan beliau ialah gangguan terhadap sistem perbankan atas talian, kerana semua transaksi dagang bergantung kepada ‘on-line banking’.

Kesesakan talian komunikasi serta Internet mobile dilihat menjadi satu fenomena baharu kepada masyarakat khususnya golongan muda.

Golongan muda khususnya yang terlibat dalam urus niaga atas talian amat mengharapkan perkhidmatan generasi kelima atau 5G yang diumumkan kerajaan baharu ini dapat direalisasikan dalam tempoh terdekat.

Situasi ini juga menggambarkan kebergantungan yang tinggi masyarakat hari ini terhadap Internet dan komunikasi digital yang lebih pantas dan stabil.

-NAZ

Tinggalkan komen anda