Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

McDonalds Malaysia Wujud Lebih 1,000 Peluang Pekerjaan di Sabah

By 26 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Eviannie Kin/Jeffren Malaning (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 26 Jun (Malaysiaaktif) – Lebih 1,000 peluang pekerjaan baharu bakal ditawarkan oleh McDonalds Malaysia untuk rakyat di negeri ini.

Pengarah Urusan merangkap Rakan Operasi Tempatan, Azmir Jaafar berkata, dalam tempoh tiga hingga empat tahun, pihaknya bercadang untuk membuka 14 hingga 18 restoran McDonalds baharu di seluruh Sabah.

“Pada masa ini, terdapat 13 restoran yang sedia ada di Sabah, 10 buah dijalankan oleh Syarikat Gerbang Alaf dan tiga lagi dijalankan oleh francais tempatan iaitu dua di Sandakan dan satu di Tawau.

Azmir (tengah) bercakap kepada media.

Azmir (tengah) bercakap kepada media.

“Kita juga sedang membina restoran baharu di Semporna dan dijangka mula beroperasi sebelum hujung tahun ini dan seterusnya bakal mewujudkan lebih 70 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

“Selain itu, sebuah restoran juga sedang dibina di Keningau dan bakal dibuka pada tahun ini serta kami turut merancang untuk membuka restoran di Kudat dan restoran kedua di Tawau dan banyak lagi di Kota Kinabalu.

“Kami yakin Sabah akan memberi peluang perniagaan yang amat baik kepada pihak syarikat,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, pada Selasa.

Tambah Azmir, McDonalds Malaysia hanya akan mengambil 100 peratus pekerja dari kalangan anak tempatan untuk bekerja di McDonalds di negeri ini.

“Kita tidak bawa pekerja dari luar kerana kita mahu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan restoran-restoran berkenaan akan diuruskan oleh anak-anak Sabah, dari tahap penyelia sehingga pengurus restoran.

“Pembukaan restoran-restoran baharu juga bukan sahaja mewujudkan banyak peluang pekerjaan malah turut memberi manfaat kepada petani, kontaktor dan pembekal di negeri ini kerana bahan mentah seperti sayur dan ayam segar akan dibeli daripada pembekal tempatan,” jelasnya.

-EM

Tinggalkan komen anda