Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Penghuni Penjara Sambut Perayaan Besar Negeri

By 21 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/Foto: Hazlinah Samsir/ Volintine Jiloh (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 21 Jun (Malaysiaaktif) – Kemeriahan menyambut perayaan besar di negeri ini turut dirasai penghuni tirai besi dalam Majlis Jalinan Kasih Sambutan Pesta Kaamatan, Hari Raya, Hari Wesak dan Hari Ibu Bapa Peringkat Penghuni Penjara 2019.

Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu (PWKK), Noorneelah Shukor berkata majlis yang diadakan tersebut dapat mengeratkan lagi silaturahim antara penghuni dengan keluarga mereka tanpa rasa tersisih.

“Pada hari ini, 14 penghuni terpilih dapat bertemu dengan keluarga mereka. Ini bertujuan untuk mereka lebih memahami bahawa meski berada di penjara, hubungan kekeluargaan tidak akan terputus.

“Selain itu, majlis yang diadakan pada bulan Syawal ini membolehkan mereka bermaaf-maafan dengan keluarga terdekat,” katanya kepada media, pada Jumaat.

Tambah beliau, mereka yang terpilih merupakan penghuni yang telah lulus beberapa syarat seperti warganegara Malaysia, berkelakuan baik serta menjalani fasa pertama iaitu orientasi dan beberapa keperluan lain yang dipantau oleh pegawai penjara.

Norneelah Shukor.

Norneelah Shukor.

Dalam pada itu, Pengerusi Lembaga Hakim Pelawat Penjara, Datuk Katherine Lee Mei Oi berkata masyarakat perlu lebih prihatin membantu pihak penjara dan kerajaan dalam mencapai kejayaan transformasi bekas banduan.

“Masyarakat perlu sama-sama memainkan peranan dalam memberi peluang kepada mereka untuk menjalani kehidupan seperti orang biasa.

“Di sini mereka dilatih untuk menjalani bengkel-bengkel kemahiran seperti menjahit, pastri dan dobi agar apabila keluar kelak, apa yang telah dipelajari dapat diaplikasikan.

“Berilah mereka yang sudah berubah ini peluang untuk mendapatkan pekerjaan yang baik dan jangan mendiskriminasikan mereka atas kesilapan masa yang lampau,” ujar beliau.

Pada majlis berkenaan, para penghuni penjara wanita turut berpeluang melibatkan diri dalam pertandingan nyanyian, dandanan dan Unduk Ngadau bagi merasai kemeriahan merayakan perayaan besar negeri.

Datuk Katherine Lee Mei Oi.

Datuk Katherine Lee Mei Oi.

Di samping menjalani program pemulihan serta bengkel-bengkel yang disediakan, produk yang dibuat oleh para penghuni PWKK juga dijual untuk membantu perbelanjaan dan keperluan harian mereka.

Menurutnya, orang ramai boleh membuat tempahan masakan, kuih raya dan makanan tradisional dengan PWKK di talian 088-319004 atau 088-219471.

-EM

Tinggalkan komen anda