Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Projek Jalan Pesisir Pantai Membedai – Tanjung Aru Satu Peratus Lebih Awal Daripada Jadual

By 22 Jun 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian

LABUAN, 22 Jun (Malaysiaaktif) – Projek pembinaan jalan pesisir pantai dari Membedai ke Tanjung Aru kini berada satu peratus lebih awal daripada jadual.

Menurut Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli walaupun Labuan sering berhadapan masalah logistik dan material pelaksanaan projek ini berjalan lancar.

“Projek ini akan melalui proses lain terutama proses Pengambilan Balik Tanah (PBT) yang akan masuk ke peringkat proses pendengaran dengan pemilik tanah,” katanya.

Projek itu katanya sangat ditunggu-tunggu dan diharapkan rakyat Labuan untuk siap mengikut jadual kerana akan memberikan impak cukup besar dalam keadaan ekonomi yang sedikit muram.

“Sedikit sebanyak projek ini menggalakkan pelbagai aktiviti ekonomi, membuka jalan-jalan baharu, mengurangkan kesesakan jalan raya dan membuka kawasan baharu.

Sesi Taklimat antara Rozman, JKR dan Pemaju

Sesi Taklimat antara Rozman, JKR dan Pemaju

“Jalan pesisir pantai membolehkan pembangunan pelancongan seperti terkandung dalam Labuan Development Blueprint 2030 kerana kawasan ini memang cantik dan berhadapan dengan tanah besar Sabah,” katanya selepas menghadiri sesi taklimat perkembangan projek itu dari Jabatan Kerja Raya dan pihak pemaju, baru-baru ini.

Tambah Rozman, projek itu juga boleh menjadi sebahagian persiapan untuk pembinaan jambatan yang menghubungkan Labuan dengan Menumbok, Sabah.

“Apabila jambatan dibuat sudah tentu Labuan menerima kemasukan pelawat serta kenderaan dari tanah seberang dan kita ingin lihat Labuan sebagai tempat perbandaran, perkhidmatan seperti Lapangan Terbang dan pelabuhan serta pusat pengagihan,” katanya lagi.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kerja Raya Labuan, Alfred Sim Seck Puan berkata proses pemilikan tanah bagi meneruskan projek itu sudah bermula.

Rozman (tiga dari kanan), Alfred (dua dari kanan) bersama-sama meninjau perkembangan projek dengan pihak kontraktor

Rozman (tiga dari kanan), Alfred (dua dari kanan) bersama-sama meninjau perkembangan projek dengan pihak kontraktor

“Tindakan susulan dari Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) dalam proses PBT sedang berjalan dan akan ada proses pendengaran antara pemilik tanah dan JKPTG dalam masa terdekat.

“Setakat ini pihak kami tidak menerima sebarang isu berkaitan nilai pampasan tanah yang akan diambil,” jelasnya.

Projek Jalan Pesisir Pantai Membedai – Tanjung Aru sepanjang 5.1 kilometer itu dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2020.

Semasa taklimat tersebut, pihak JKR Labuan turut memaklumkan projek pembinaan naiktaraf jalan dari Pohon Batu (Simpang Tamu) ke Pancur Hitam Fasa II yang bernilai RM33 juta kini 14 peratus lebih awal daripada jadual dan dijangka siap menjelang Ogos 2020.

Pihak pemaju menghadapi beberapa masalah antaranya terdapat utiliti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Bekalan Air, Telekom Malaysia dan Sabah Electricity Sdn Bhd di sepanjang jajaran jalan yang mengganggu kelancaran kerja-kerja pembinaan.

Walaubagaimanapun, masalah tersebut dapat diatasi apabila JKR Labuan membuat keputusan untuk melaksanakan pengalihan dan perlindungan utiliti terbabit sebagai kerja tambahan kepada kontraktor.

-EM

Tinggalkan komen anda