Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPutrajaya

Ular Tedung Selar 16 Kaki ‘Pelanggan’ Kedai

By 12 Jun 2019Tiada komen1 minit bacaan

Foto: Ihsan Bernama

PUTRAJAYA, 12 Jun (Malaysiaaktif) – Sebuah kedai di Kampung Permatang Pinang di Merchong, Pekan Kuantan, semalam menerima ‘pelanggan’ tidak diundang iaitu ular tedung selar sepanjang 4.8 meter (16 kaki).

Ular tersebut yang dianggarkan seberat tujuh kilogram bagaimanapun berjaya ditangkap seorang penyelia kebun kelapa sawit, Shafiq Zulkifli, 23, yang dikenali penduduk sekitar Pekan sebagai ‘penjinak ular’.

Shafiq yang sudah lima tahun ‘berjinak’ dengan ular berkata kerja menangkap reptilia itu dilakukan di bawah pengawasan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Nenasi.

“Saya dimaklumkan oleh pemilik kedai dan pihak bomba berhubung penemuan ular itu yang berada di sebalik rak sekitar 12 tengah hari.

“Ular itu didapati tidak melawan mungkin kerana dipercayai baru bersalin kulit kerana kulitnya yang masih cantik dan tiada kesan calar,” katanya semasa dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Shafiq berkata dia mengambil masa selama lima minit untuk menangkap ular itu dengan menggunakan tangan sebelum dimasukkan ke dalam guni.

Ular itu, menurutnya dilepaskan di habitat asal haiwan tersebut di Nenasi.  — BERNAMA

Tinggalkan komen anda