
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 9 Julai (Malaysiaaktif) – Peserta Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku boleh dianggap sebagai pejuang yang mempertahankan kelima-lima Prinsip Rukun Negara.
Menurut Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan merangkap Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPPWP) Labuan, Simsudin Sidek, Para guru pembimbing dan peserta Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku terlibat secara langsung dalam perjuangan memartabatkan prinsip Rukun Negara.
“Semua pihak yang terlibat di dalam program ini sebenarnya adalah pejuang – pejuang yang akan terus mempertahankan kelima-lima prinsip rukun negara sebagai salah satu alat penting yang membantu rakyat malaysia bersatu padu dari dahulu hingga kini.

Simsudin (dua dari kiri) , Supian (dua dari kanan), Jaafar (paling kiri) dan Asmawi ( paling kanan) semasa menyanyikan lagu Malaysia Bersih
“Para guru pembimbing dan peserta Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku bukan hanya menjadi peserta yang ingin mencari kemenangan semata – mata, tetapi kamu adalah sebahagian daripada sejarah yang bakal kamu banggakan suatu masa nanti apabila terlibat secara langsung dalam perjuangan memartabatkan prinsip rukun negara yang bakal kita wariskan kepada anak cucu serta generasi kita kelak.
“Sebarang usaha yang dibuat untuk mengajak rakyat agar kembali menjunjung prinsip-prinsip rukun negara ini adalah satu usaha yang amat mulia,”katanya semasa merasmikan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku Peringkat W.P Labuan 2019, pada Ahad.
Jelasnya, Jabatan Penerangan Malaysia sebagai penganjur, semua yang hadir sebagai tetamu dan penonton pada hari itu juga bakal menjadi saksi yang akan bersama-sama pada bila-bila masa untuk terus berganding bahu menjadikan rukun negara sebagai panduan di setiap langkah dan tindak tanduk sebagai rakyat malaysia.
Tambah Simsudin, prinsip Rukun Negara iaitu kepercayaan kepada tuhan; kesetiaan kepada raja dan negara; keluhuran perlembagaan; kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan, sebenarnya adalah satu falsafah dan ideologi negara yang menjadi dasar kesatuan, perpaduan bangsa serta pedoman kepada kehidupan semua masyarakat pelbagai kaum dan budaya di negara ini.
“Marilah kita bersama-sama berharap agar pada tahun baharu 2019 ini, semua rakyat malaysia tanpa mengira asal usul dan keturunan mempunyai iltizam untuk menjadikan lima matlamat dan lima prinsip rukun negara sebagai panduan hidup bagi mencapai wawasan negara dan perpaduan nasional,”katanya.
Pada Pertandingan itu, SMK Rancha-Rancha yang mempertaruhkan tajuk sketsa Mimpi Apoi berjaya mengatasi saingan sengit dari SMK Labuan di tempat kedua diikuti SMK Pantai dan SMK Taman Perumahan Bedaun di tempat ketiga dan keempat.
SMK Rancha-Rancha membawa pulang wang tunai RM 2000 berserta trofi dan sijil serta bakal membawa cabaran Wilayah Persekutuan Labuan pada Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab Malaysiaku Peringkat Kebangsaan di Perak Darul Ridzuan.
Hadir sama Pengarah Penerangan Labuan, Supian Musa, Ketua Unit Kokurikulum, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Labuan, Jaafar Matusin
dan Penolong Pengarah Kelab Dan Persatuan, Unit Kokurikulum, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pendidikan Labuan, Asmawi Ahmad.