Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPutrajaya

Bulan Kebangsaan Platform Zahirkan Penghargaan Kepada Negara

By 31 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Foto: Ihsan Bernama

PUTRAJAYA, 31 Jul (Malaysiaaktif) – Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 di Dataran Pahlawan, Bandar Hilir pada Sabtu ini, bukan sahaja medium bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, bahkan sebagai platform menzahirkan penghargaan terhadap pejuang negara terdahulu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Hasim Hasan berkata menerusi program julung kali diadakan di Melaka itu, rakyat berbilang kaum dan agama berpeluang membuktikan kesyukuran dan meningkatkan semangat cintakan tanah air dalam pelbagai cara.

“Sebagai rakyat Malaysia, banyak nikmat kemerdekaan dikecapi hasil perjuangan pejuang kemerdekaan terdahulu dan nikmat kemerdekaan ini tidak mungkin dapat kita rasai tanpa kesepakatan, permuafakatan dan perpaduan yang kukuh dalam kalangan masyarakat di negara ini.

“Sebagai mengenang jasa dan tanda terima kasih tidak terhingga, kita harapkan pada Sabtu ini perasaan itu turut sama dizahirkan semula oleh lebih 30,000 orang yang dijangka hadir ke program berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada pejuang negara dalam menuntut kemerdekaan,” katanya kepada Bernama di sini.

Rabu lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo dilaporkan berkata pemilihan Melaka sebagai lokasi pelancaran itu adalah berdasarkan faktor sejarah, dan negeri ini menjadi lokasi pengisytiharan kemerdekaan negara pada 20 Feb 1956 di Bandar Hilir.

Dataran Pahlawan turut dikenali Padang Bandar Hilir, merupakan tempat bersejarah dengan kawasan itu merupakan lokasi menyambut kepulangan Rombongan Kemerdekaan dari London diketuai Perdana Menteri pertama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi mengumumkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

“Kemuncaknya pada 3 Ogos, seawal 6 pagi akan diadakan Larian Merdeka, sebelum Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada sebelah malam dan seterusnya Perdana Menteri akan menyempurnakan pelepasan Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019.

“Beberapa jalan di sekitar Bandar Hilir akan ditutup secara berperingkat ketika program itu berlangsung dan orang ramai diminta mematuhi arahan pihak polis yang bertugas di kawasan itu,” katanya dan menambah beberapa lokasi sudah dikenal pasti untuk dijadikan kawasan parkir bagi memudahkan mereka meletakkan kenderaan untuk menghadiri program itu.

Hasim yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019, berkata majlis sambutan itu dijadual turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Gobind, Ketua Menteri Melaka Adly Zahari dan barisan Exco kerajaan negeri.

Katanya antara kelainan sambutan pelancaran itu, pengunjung berpeluang merakam gambar mereka melalui kamera khas disediakan pada 2 Ogos, 3 petang di Dataran Pahlawan untuk dijadikan sebagai montaj sempena sambutan Hari Kebangsaan (31 Ogos) dan Hari Malaysia (16 Sept).

“Gambar-gambar itu juga akan dimasukkan dalam sistem untuk dijadikan sebahagian imej silih ganti yang bakal ditayangkan di setiap papan iklan LED (diod pemancar cahaya) di sekitar kawasan Dataran Pahlawan dan Hotel Hatten di Bandar Hilir,” katanya.

Beliau berkata tema ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’ bertepatan dengan slogan kerajaan negeri, ‘Melaka Berwibawa: Pintar, Hijau, Bersih’ iaitu selaras dengan dasar dan komitmen utama kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menangani isu berkaitan pengurusan pentadbiran, integriti dan antirasuah.

Katanya orang ramai boleh mendapatkan maklumat berhubung program itu menerusi laman Facebook rasmi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2019 iaitu Merdeka360 atau laman sesawang malaysiamerdeka.my.

— BERNAMA

Tinggalkan komen anda