Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Sindiket Pemalsuan Dokumen Satu Jenayah Pencabulan Kedaulatan Negara – Ewon

By 31 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto: Marryan Razan/ Joel Ewel (Kota Kinabalu)

KOTA BELUD, 31 Jul (Malaysiaaktif) – Penglibatan kakitangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri satu jenayah pencabulan kepada kedaulatan negara, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick.

Sehubungan itu katanya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap pegawai yang terlibat kerana ia bukan sahaja memburukkan imej penjawat awam tetapi melanggar undang-undang negara.

Ewon bersalaman dengan tetamu yang hadir pada majlis itu.

Ewon bersalaman dengan tetamu yang hadir pada majlis itu.

“Tindakan setegas-tegasnya perlu diambil kerana risiko keselamatan kepada pencabulan kedaulatan melalui pemberian dokumen kenegaraan secara haram sama bahayanya dengan pencabulan bersenjata orang asing di Tanduo, Lahad Datu beberapa tahun lalu.

“Oleh itu, pihak polis perlu menyiapkan kertas siasatan supaya kes ini dibawa ke muka pengadilan dan semua yang terlibat dalam sindiket ini dikenakan hukuman sewajarnya,” katanya selepas merasmikan Hari Keluarga UPKO Bahagian Kota Belud, pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kejayaan pihak polis menahan seorang pegawai pendaftar JPN iaitu antara tiga lelaki yang ditahan membabitkan sindiket pemalsuan dokumen pengenalan diri di Semporna.

Tangkapan itu dibuat selepas laporan polis dibuat pada 22 Julai lalu daripada seorang pengadu lelaki berusia 35 tahun yang mengesyaki seorang suspek menjalankan aktiviti melalui tawaran kononnya membantu untuk mendapatkan sijil lahir dan kad pengenalan warganegara Malaysia.

Ketiga-tiga suspek kini ditahan reman bermula Rabu lalu untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ewon (kanan) bersama-sama masyarakat setempat menyertai sukan rakyat – Tarik Tali.

Ewon (kanan) bersama-sama masyarakat setempat menyertai sukan rakyat – Tarik Tali.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata, sebagai warga Sabah, mereka sepatutnya mempunyai tanggungjawab memastikan kedaulatan negara terus terjamin.

“Kalau kita mahukan Sabah bebas daripada Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), maka kita jadilah sebahagian daripada penyelesaian masalah itu.

“Jadikan rumah kita, kebun dan perusahaan ekonomi, serta kampung kita bebas daripada kehadiran PATI,” katanya.

Beliau berkata, masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah merupakan isu yang kompleks tetapi perlu ditangani dan diselesaikan dengan lebih berkesan.

“Kabinet Kerajaan Sabah telah beberapa kali membincangkan masalah ini termasuk syor jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan susulan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja Mengenai Pendatang Asing di Sabah.

SUMPIT... Ewon memperlihatkan kebolehan beliau dalam acara tradisi - Sumpit.

SUMPIT… Ewon memperlihatkan kebolehan beliau dalam acara tradisi – Sumpit.

“Ketua Menteri (Datuk Seri Mohd Shafie Apdal) sendiri telah mempengerusikan beberapa mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri yang saya percaya antara lainnya menyentuh tentang masalah pendatang asing tanpa izin di negeri ini,” katanya.

Selain itu katanya, dalam sesi Roadshow Libat Urus Pra-Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) pada Jumaat lalu, turut dimaklumkan tentang keberadaan 28 peratus penduduk bukan warganegara di Sabah.

“Ini satu angka yang amat membimbangkan dan boleh menjadi bom jangka di negeri ini, jika tidak ditangani dengan baik.

“Kita sekali lagi dikejutkan dengan pendedahan pihak polis mengenai tangkapan ke atas sindiket melibatkan kakitangan sebuah jabatan kerajaan yang memberikan dokumen kenegaraan kepada warga asing secara haram,” katanya.

Ewon merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak polis atas kejayaan membongkar sindiket ini dan membawa semua yang terlibat ke muka pengadilan.

ER

Tinggalkan komen anda