Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohor

Cub Prix Petronas Malaysia Pontian Dapat Sambutan Luar Biasa

By 22 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Krisha Selladurai (Pontian)

PONTIAN, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas yang menjadi tumpuan para belia dan semua lapisan masyarakat di Pusat Perdagangan Pontian telah pun melabuhkan tirainya semalam.

Kira-kira 2,000 orang membanjiri kawasan tersebut bagi menyaksikan  perlumbaan yang menentukan siapakah juara bagi Cub Prix Petronas Malaysia untuk musim ini.

Biarpun baharu pertama kali menjadi venue perlumbaan sambutan diberikan cukup luar biasa dari peminat dan penduduk membuatkan kawasan sekitar litar di Pusat Perdagangan Pontian sesak.

Pusat Perdagangan Pontian sesak dengan pengunjung yang ingin menyaksikan perlumbaan Cub Prix Petronas Malaysia.

Pusat Perdagangan Pontian sesak dengan pengunjung yang ingin menyaksikan perlumbaan Cub Prix Petronas Malaysia.

Pegawai Daerah Pontian, Zulkifly Mohd Tahir berkata Pontian telah bersedia menjadi tuan rumah Cub Prix pada tahun hadapan dan berharap pihak penganjur akan memilih Pontian sekali lagi sebagai lokasi perlumbaan bagi peringkat daerah pada masa hadapan.

Katanya, selain melonjakkan nama Pontian, ekonomi penduduk juga ditingkatkan dengan kehadiran ramai pengunjung luar sehingga hotel dan rumah tumpangan penuh ditempah.

“Kehadiran peminat motosikal dari seluruh negeri yang datang bersama ahli keluarga merancakkan lagi ekonomi para peniaga kedai makan, pengusaha hotel, stesen minyak dan sebagainya,” katanya lagi.

Pegawai Daerah Pontian (dua dari kiri) memberi sokongan kepada pelumba Cub Prix Petronas Malaysia.

Pegawai Daerah Pontian (dua dari kiri) memberi sokongan kepada pelumba Cub Prix Petronas Malaysia.

Yang Dipertua Majlis Daerah Pontian (MDP) Nor Syazlan Abd Razak pula berkata pelancongan sukan kini menjadi salah satu tarikan baru kepada Pontian.

“MDP sentiasa bersedia memberikan kerjasama dan sokongan kepada mana-mana penganjur yang ingin menjayakan program seumpama itu di sini lagi,” ujarnya.

Pegawai Media Motosikal Cub Prix, Asan Ahmad  menerangkan litar sejauh 1.27km dengan selekoh tajam menguji keberanian pelumba untuk bertarung.

“Pada pelumbaan kali ini, seramai 71 pelumba telah menyertai tiga kategori iaitu CP150, CP115 dan Wira dengan cabaran baharu buat pelumba kerana litar di sini pertama kali digunakan berbanding litar-litar lain yang sudah biasa digunakan pelumba,” tambahnya lagi.

Pada hari sabtu lepas, Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar turut berkenan melawat litar ini sewaktu konvoi Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019 singgah ke daerah Pontian.

Md Azhar Abd Jalil (tengah) berjaya menjuarai kategori C150.

Md Azhar Abd Jalil (tengah) berjaya menjuarai kategori C150.

Pelumba daripada pasukan Motul Yamaha YY Pang, Md Azhar Abd Jalil muncul juara bagi kelas CP150, manakala juara kategori CP115 dimenangi Md Syafik Rosli dan bagi kategori Wira pula menyaksikan penguasaan Md Zaki Zamri yang berjaya merangkul gelaran juara.

Pusingan 5 kejuaraan akan berlangsung di Kuala Terengganu pada 23 hingga 24 Ogos depan.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mustafa Bakri Salleh dan beberapa orang artis terkenal tanah air  seperti Datuk Farid Kamil dan Shuib Sepahtu.

-NI-

Tinggalkan komen anda