Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanJohorMA

KMJ 2019 Cetus Keterujaan Penduduk Kampung Sungai Telor

By 23 Julai 2019Tiada komen3 minit bacaan

Laporan/foto:  Shahqrul Azim Shaari, Nurulaini Mohd Kasran, Norasilah Ibrahim/Mohd Najib Mohaini (Kota Tinggi)

KOTA TINGGI, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Kehangatan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2019 yang memasuki hari terakhir diteruskan dengan persinggahan ke Padang Awam Kampung Sungai Telor, di sini, pagi tadi.

Ketibaan Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bersama Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah dan anakanda-anakanda baginda disambut oleh Pegawai Daerah Kota Tinggi, Tuan Haji Farizal Ismail serta penduduk kampung yang telah menantikan ketibaan konvoi ini sejak awal pagi lagi.

 
Menurut seorang penduduk yang ditemui Mariam Jamilah Jailani, 19, beliau sangat gembira dan teruja kerana pertama kali dapat bersua muka dengan Baginda Sultan Johor.

Mariam Jamilah Jailani teruja pertama kali dapat bersua muka dengan Sultan Johor.

Mariam Jamilah Jailani teruja pertama kali dapat bersua muka dengan Sultan Johor.

“Saya datang ke sini bersama adik bagi melihat sendiri ketibaan konvoi ini ke kampung kami dan inilah keunikan negeri Johor yang tidak terdapat di negeri lain di mana Sultan Johor mengembara ke 10 buah daerah bagi berjumpa dan beramah mesra dengan rakyat,” katanya lagi.

“Kami juga merasa gembira dapat mengumpul cenderamata yang diedarkan oleh pihak sekretariat KMJ 2019 kepada orang ramai seperti bendera Johor, lencana dan kipas tangan dan ia dijadikan koleksi tahunan kami,” katanya lagi.

Sultan Johor mencuba permainan beyblade.

Sultan Johor mencuba permainan beyblade.

Sultan Johor turut berkenan menyertai acara kukur kelapa secara tradisional dan permainan ‘beyblade’ bersama-sama penduduk kampung dan Baginda juga dibawa melihat pameran ikan laga serta demonstrasi pembuatan roti arab selain bergambar bersama belia Kota Tinggi yang melaungkan dan mengangkat sepanduk “Daulat Tuanku”.

Amir Hamzah Hajrie, 47, sangat berterima kasih kepada pihak penganjur yang telah memilih Kampung Sungai Telor sebagai destinasi persinggahan KMJ 2019.

Amir Hamzah Hajrie melahirkan rasa terima kasih kepada pihak KMJ 2019 kerana memilih Kampung Sungai Telor sebagai salah satu lokasi persinggahan konvoi.

Amir Hamzah Hajrie melahirkan rasa terima kasih kepada pihak KMJ 2019 kerana memilih Kampung Sungai Telor sebagai salah satu lokasi persinggahan konvoi.

“Saban tahun saya tidak akan melepaskan peluang untuk mengikuti perkembangan KMJ dan pasti akan hadir ke setiap lokasi persinggahan konvoi ini di daerah Kota Tinggi.”

“Tahun ini lebih bermakna kerana konvoi ini singgah di kampung saya dan ia pastinya menjadi kenangan yang tidak dilupakan setiap penduduk Kampung Sungai Telor,” ujarnya.

Permaisuri Johor turut berkenan menyaksikan pameran Jauhar Collections seperti seni kraf berasaskan kain, songkok tarbus, batik, seni kaca, cincin, keris dan tikar mengkuang.

Sultan Johor berkenan menerima persembahan cenderamata yang disampaikan Pegawai Daerah Kota Tinggi.

Sultan Johor berkenan menerima persembahan cenderamata yang disampaikan Pegawai Daerah Kota Tinggi.

Sementara itu, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman, Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah dibawa menyaksikan dan mencuba sukan rakyat yang diadakan seperti mini penalti, lari dalam guni, boling kelapa, tarik upih, tarik tali, dan bola sepak beragam: kain pelikat vs kain batik.

Selepas meluangkan masa hampir satu jam bersama rakyat jelata, Baginda dan rombongan berangkat ke daerah Kulai bagi persinggahan KMJ 2019 seterusnya.

Mike Roy dan David Lim (pengembara berbasikal) bergambar di Padang Awam Kampung Sungai Telor.

Mike Roy dan David Lim (pengembara berbasikal) bergambar di Padang Awam Kampung Sungai Telor.

Dua orang pengembara berbasikal, Mike Roy, 39, dari Amerika Syarikat dan David Lim, 35, dari Pulau Pinang ditemui selepas keberangkatan Sultan Johor dan rombongan KMJ 2019 ke daerah Kulai berkata mereka dimaklumkan oleh rakan bahawa KMJ 2019 sedang  bergerak menuju ke Kota Tinggi dari Mersing.

“Kami membuat keputusan untuk bersama-sama masyarakat setempat bagi menyambut ketibaan konvoi KMJ namun kami terlepas acara ini kerana lewat bertolak dari Mersing.”

“Walaubagaimanapun, kami dapat juga merasai kemeriahan acara ini melalui pertandingan-pertandingan yang masih lagi berlangsung dan kami pasti rakyat Johor amat berbangga kerana mempunyai seorang Sultan yang berjiwa rakyat,” ujar David Lim lagi.

Kembara Mahkota Johor yang berlangsung pada setiap tahun akan menjadi kenangan manis kepada semua rakyat Johor kerana ia adalah keunikan yang hanya terdapat di negeri ini.

-NI-

Tinggalkan komen anda