Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Ewon Pelawa JMG Sabah Anggotai Jawatankuasa Pembangunan MESEJ

By 24 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Marryan Razan (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 24 Jul (Malaysiaaktif) – Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick mempelawa Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Sabah menganggotai Jawatankuasa Pembangunan Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah.

Beliau berkata, keanggotaan baru itu penting supaya kepakaran dan khidmat teknikal JMG dapat digunakan untuk membantu mengenalpasti sumber air bawah tanah di perkampungan MESEJ.

“Dalam beberapa lawatan saya ke Program MESEJ, ada beberapa perkampungan yang tidak ada bekalan air daripada Jabatan Air kerana faktor jarak yang jauh dari sumber paip dan hanya bergantung kepada penakungan air hujan dalam tangki.

“Saya fikir ada ruang untuk menambahbaik kemudahan bekalan air luar bandar di perkampungan MESEJ yang berhadapan masalah ini.

“Sebab itu saya meminta Setiausaha Tetap KPLB Sabah untuk menjemput JMG Sabah menjadi anggota baru jawatankuasa pembangunan MESEJ kerana saya yakin mereka mempunyai kepakaran mengenalpasti sumber air bawah tanah di mana-mana perkampungan MESEJ,” katanya, di sini, hari ini.

Ewon berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan awal beliau berhubung usaha-usaha memperkasakan Program MESEJ di seluruh negeri Sabah.

Beliau berkata, selain Pegawai-Pegawai Daerah, anggota lain sedia ada dalam Jawatankuasa Pembangunan MESEJ ialah Jabatan Kerja Raya, Jabatan Air, Sabah Electricity Sdn Bhd dan agensi pelaksana seperti Lembaga Kemajuan Tanah Sabah dan Lembaga Industri Getah Sabah.

“Jika JMG mendapati ada sumber air bawah tanah, maka KPLB Sabah boleh menyediakan peruntukan yang bersesuaian untuk melaksanakan pengambilan air bawah tanah menggunakan teknologi yang disyorkan oleh jabatan itu, seterusnya mereka juga boleh membantu memantau kerja-kerja penerokaan sumber air bawah tanah tersebut.

“Mereka (JMG) telah melaksanakan sebuah projek di Kg Piasau, Kadamaian dan saya fikir dengan kos yang tidak sampai RM100,000 kita boleh menyelesaikan sebahagian masalah bekalan air di perkampungan MESEJ,” katanya.

Ewon yakin dengan adanya kerjasama mantap daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan sebahagian daripada masalah infrastruktur asas termasuk bekalan air di perkampungan MESEJ dapat diatasi dengan baik.

Beliau berkata, antara perkampungan MESEJ yang masih berhadapan dengan masalah bekalan air ialah MESEJ Abai Kinabatangan, MESEJ Sapang Kunak, MESEJ Matunggong, MESEJ Tukar Pitas dan beberapa lagi perkampungan MESEJ lain.

ER

Tinggalkan komen anda