Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPerak

Anak Negeri Terima Pinjaman Pendidikan Tanpa Faedah

By 24 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin/Unit Korporat SUK Perak (Ipoh)

IPOH, 24 Jul (Malaysiaaktif) – Kerajaan negeri berusaha untuk meningkatkan tahap pendidikan dalam kalangan anak-anak Perak dengan menawarkan suatu bentuk pinjaman tanpa faedah di bawah Pinjaman Pengajian Tinggi Negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Negeri Perak Dr. Abdul Aziz Bari, berkata usaha ini bertujuan untuk menampung kos pengajian para pelajar yang berjaya ditawarkan tempat di mana-mana institusi pengajian tinggi yang ditaja.

“Tajaan ini meliputi semua bidang pengajian di universiti awam dan bidang-bidang pengajian yang diiktiraf oleh Malaysian Qualification Agency (MQA),” jelasnya ketika menjawab soalan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kurau Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria pada Persidangan Kedua Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri ke-14 Perak, pagi tadi.

Aziz menambah, pinjaman ini diberikan kepada pelajar yang memenuhi syarat yang ditetapkan bermula daripada peringkat pengajian diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan ijazah kedoktoran (PhD).

“Kadar pinjaman bermula RM5,000 bagi peringkat diploma sehingga RM15,000 untuk peringkat PhD dan sesi tawaran bagi memohon pinjaman ini lazimnya dibuka selama tiga bulan bermula awal Disember hingga Februari setiap tahun.

“Melalui Yayasan Perak, anak-anak Perak yang ingin menyambung pelajaran ke universiti awam pada peringkat ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan PhD diberikan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi Dermasiswa Harapan Dalam Negara dan RM2 juta bagi Dermasiswa Harapan Luar Negara,” katanya lagi.

Rebat sebanyak 30 peratus turut diberikan kepada peminjam bagi tujuan mengurangkan tunggakan pinjaman seterusnya meningkatkan kutipan balik bayaran.

“Kutipan dengan rebat ini dilakukan bagi tempoh 1 Jun hingga 31 Julai ini bagi memberi galakan kepada peminjam untuk membuat bayaran balik secara sekaligus,” jelasnya ketika menjawab soalan tambahan ADUN Kamunting, Ir Dr. Muhd Fadhil Nuruddin.

-SH

Tinggalkan komen anda