Skip to main content
Berita TempatanSabah

HMA Angkat Martabat Muzium Sebagai Penyumbang Pembinaan Bangsa dan Negara

By 16 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Jeanne J Som/ Mastim Kiriman (Kota Kinabalu)

KOTA KINABALU, 16 Jul (Malaysiaaktif) – Hari Muzium Antarabangsa (HMA) yang diadakan sejak tahun 1997 telah mengangkat martabat muzium sebagai institusi penting yang menyumbang kepada pembinaan bangsa dan negara.

Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi, berkata institusi permuziuman merupakan salah satu institusi pendidikan tidak formal yang tertua di dunia dan diiktiraf oleh semua golongan masyarakat.

“Di persada antarabangsa, muzium telah diangkat sebagai pusat penyelidikan yang terulung, dilengkapi dengan infrastruktur yang moden dan canggih serta intelektual yang berfikiran kritis dan inovatif.

“Ianya telah menjadi sebuah pusat komuniti di mana aktiviti-aktiviti berbentuk kemasyarakatan dilaksanakan di muzium,” katanya sempena majlis perasmian Sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2019, di sini semalam.

Christina (dua dari kanan) menyambut ketibaan Mohamaddin (kiri).

Christina (dua dari kanan) menyambut ketibaan Mohamaddin (kiri).

Mohammaddin turut menjelaskan tema “Muzium sebagai hab kebudayaan: Kelangsungsan tradisi” adalah amat bertepatan dengan peranan dan fungsi muzium yang bakal membawa impak besar kepada masyarakat dan negara.

“Kita melihat bahawa pencapaian dan usaha institusi permuziuman pada era dunia digital ini harus dipertingkatkan bagi merubah persepsi masyarakat kepada warisan dan budaya merapatkan jurang, maka itulah yang perlu dilaksanakan.

“Muzium perlu menjadi hab kebudayaan yang mampu mengadunkan warisan dan teknologi melalui mekanisma tertentu yang padu dalam memartabatkan dan melestari budaya dan warisan negara bagi kelangsungan tradisi,” katanya lagi.

Sebanyak 26 agensi mengambil bahagian pada HMA kali ini termasuklah daripada Muzium Kalimantan Barat, Indonesia serta muzium dari seluruh Malaysia.

Antara pameran yang disediakan.

Antara pameran yang disediakan.

Sabah dipilih sebagai tuan rumah dan pelaksana sempena sambutan Hari Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2019 yang ditetapkan oleh International Council of Museums (ICOM).

HMA 2019 ini dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 malam setiap hari sepanjang sambutan selama enam hari dan masuk adalah percuma. Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang Muzium Sabah di https://www.museum.sabah.gov.my.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Assaffal P.Alian, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Saraya Arbi, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar William Baya, Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia Datuk Kamarul Baharin A. Kasim dan Pengarah Muzium Sabah Arif Abdul Hamid.

-SH

Tinggalkan komen anda