Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Kerajaan Persekutuan Tidak Anak Tirikan Kelantan

By 9 Julai 2019Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Azhar Ismail (Kelantan)

KOTA BHARU, 9 Jul (Malaysiaaktif) – “Kelantan tidak akan dipinggirkan di bawah pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan (PH),” tegas Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohd Azmin Ali, semasa menyampaikan ucapan di Majlis Silaturrahmi Menteri Hal Ehwal Ekonomi Bersama Penjawat Awam dan Rakyat, di perkarangan Wisma Persekutuan Jalan Bayam, di sini hari ini.

Sebelum itu, Azmin mengadakan kunjungan hormat dan mempengerusikan bersama mesyuarat Malis Tindakan Negeri dengan Menteri Besar di Bilik Gerakan Kerajaan Negeri di bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, pagi tadi.

Azmin menyeru seluruh penjawat awam memberikan komitmen dalam membangunkan negeri Kelantan bagi merealisasikan agenda Kemakmuran Bersama.

“Peranan dan tanggungjawab penjawat awam sangat penting sebagai mekanisme pelaksana di peringkat negeri dan akar umbi.

“Perkara asas dan penting dalam menjayakan Kemakmuran Bersama ialah, kerajaan persekutuan berusaha untuk mengurangkan jurang ekonomi dan merapatkan kelas pendapatan yang tidak sama,” tegas Azmin.

Azmin melahirkan penghargaan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir yang telah memberi persetujuan kepada Menteri Besar untuk mempengerusikan bersama Majlis Tindakan Negeri (MTN) Kelantan.

“Ini adalah pendekatan Kerajaan PH, keterbukaan dan mengenepikan ideologi politik demi Kemakmuran Bersama,” katanya lagi.

Menurut beliau, kunjungannya hari ini ke Kelantan khususnya mempengerusikan mesyuaran MTN secara bersama adalah satu pertemuan yang positif dan baik serta mendapat sokongan daripada Ketua-ketua Jajahan seluruh Kelantan.

Azmin memaklumkan, Negeri Kelantan bakal mendapat nikmat daripada projek bernilai RM600 juta limpahan dan manfaat daripada kerjasama serantau Malaysia-Indonesia-Thailand melalui platform ITGT.

“Kerajaan Persekutuan komited dalam bantu urus Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kelantan yang benilai RM500 juta. Di samping itu, manfaat sampingan PLSB ialah penghasilan sumber air bersih dan pertanian,” tambahnya.

Azmin juga menyentuh berkaitan projek Sungai Lebir (RM3.5B) dan projek Hidro Sungai Nenggiri (RM60B) yang melibatkan Tenaga (TNB). Kedua-dua projek ini akan diperbincang dan bakal disegerakan untuk dimasukkan ke dalam RMK12.

Azmin terus menekankan peri pentingnya peranan penjawat awam dalam menyokong usaha-usaha kerajaan, melaksanakan tugas secara terbuka dan profesional apabila melibatkan kerajaan negeri.

-SH

Tinggalkan komen anda